KUALA LUMPUR: Dua reformasi penting perlu dilakukan untuk memastikan kestabilan politik negara yang berpanjangan adalah menghentikan sistem sokongan berdasarkan kepada Akuan Bersumpah (SD) dan menambah baik keadilan jenayah melibatkan individu berprofil tinggi.

Pengasas Bersama Undi18, Tharma Pillai berkata pembaharuan itu diperlukan bagi mencari jalan menutup ruang kepada ahli politik terus bermain politik yang tidak menguntungkan rakyat.

“Kita ramai ahli politik, kerja mereka berpolitik sahaja, kita kurang pemimpin yang ingin memimpin negara ke suatu persada yang lebih besar dan lebih baik. Itu masalah negara kita.

“Kita perlu melihat apa sebabnya mereka masih melakukan kerja-kerja ini. Pertama bagi saya, sistem akuan bersumpah (SD). Ini ialah isu yang paling besar kerana ini membolehkan pelbagai permainan belakang tabir berlaku,” katanya dalam program Agenda AWANI.


Oleh yang demikian, Tharma menghargai kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Negara dan titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang menjadi penghalang kepada ahli politik daripada bertindak secara tidak wajar.

Seterusnya, Tharma berpendapat bahawa pergolakan politik yang berterusan ini adalah kerana sikap ahli politik yang tertumpu kepada meraih kekayaan ketika berkuasa.

“Kerana sistem kita sedia ada memberikan untung yang besar kepada mereka yang menang. Kalau menang, sukar untuk ada semak dan imbang.

“Kalau anda lakukan rasuah, salah guna kuasa untuk kayakan diri, sukar untuk dihukum asalkan ada kuasa.

“Sebab itu mereka yang melakukan rasuah semasa berkuasa, takut ketika tidak lagi berkuasa,” dakwanya lagi.