Hentikan temu bual, Najib dakwa Al Jazeera tidak adil kepadanya
Rahimah Abdullah
Oktober 27, 2018 16:46 MYT
Oktober 27, 2018 16:46 MYT
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan tindakannya menghentikan rakaman temu bual khas dengan Al Jazeera yang mula disiarkan hari ini, adalah disebabkan agensi berita antarabangsa itu didakwa tidak bersikap adil kepadanya.
Menurutnya, wartawan agensi itu, Mary Ann Jolley turut 'menjerat' dirinya kerana secara mendesak bertanya soalan mengenai isu kematian model Mongolia, Altantuya Shaariibuu dan 1MDB yang bercanggah dengan topik asal yang dipersetujui.
"Walaupun saya sudah menjawab banyak soalan mengenai Altantuya dan 1MDB yang bukan pun di dalam skop yang dipersetujui, wartawan yang bernama Mary Ann ini tetap tidak mahu kembali kepada topik asal iaitu legasi saya dan ekonomi negara.
"Malahan, dia terus menekan tentang isu Altantuya dan 1MDB yang sedang di dalam proses pengadilan di mahkamah dan mencelah semasa saya sedang menjawab serta berulang-kali mengaitkan nama Jho Low kepada saya walaupun saya sudah jawab peranan Jho Low kepadanya dipermulaan wawancara ini," katanya dalam entrinya di laman sosial Facebook pada Sabtu.
Menurut Najib, walaupun wawancara itu melangkaui masa yang dipersetujui serta melangkaui skop yang dipersetujui, beliau tetap menjawab soalan-soalan tambahan yang diajukan.
"Tetapi, individu yang mengendali wawancara itu juga adalah wartawan bertanggungjawab bagi satu program mengenai pembunuhan Altantuya, dan dia bertegas mahu menyoal soalan mengenainya, di sebalik pelbagai penafian saya, di sebalik kes pembunuhan itu sudah melalui prosiding mahkamah terperinci, malah dua minggu lalu, atas permintaan saya, pegawai saya telah pun membuat laporan polis meminta pihak berkuasa menyiasat semula bagi membersihkan nama saya," ujarnya.
Justeru, beliau mengambil keputusan untuk menghentikan temu bual itu kerana tidak mengikuti apa yang telah dipersetujui dan didakwa berat sebelah kepadanya.
"Saya berpendirian tidak mahu mereka melanjutkan fitnah mengenai dua-dua isu itu terhadap saya, yang sudah berkali-kali dijawab dan terlalu banyak kali diberi penjelasan. Saya diberitahu bahawa pihak Al Jazeera sedang cuba untuk mengatur satu lagi wawancara dengan saya supaya matlamat asal dua-dua pihak akan dapat dicapai," tambahnya.
Najib dalam entri di Facebooknya sebelum itu, turut memohon maaf kepada Al Jazeera jika dilihat kurang sabar sehingga bertindak menghentikan temu bual berkenaan.
Bagaimanapun beliau sedia ditemu bual sekali lagi jika dijemput semula agensi berita antarabangsa itu.
#1MDB
#Altantuya Shaariibuu
#Cuba
#ekonomi
#Facebook
#fitnah
#Jho Low
#laman sosial
#mahkamah
#menteri
#Najib Razak
#Perdana Menteri
#polis
#wanita