Skip to main content

Malaysia

Hentikan tindakan disiplin kritik kerajaan, universiti bukan gelanggang protokol lapuk - PM Anwar

[LANGSUNG] Forum Ilmuwan Malaysia MADANI Siri 13 | 26 Ogos 2026
Kerajaan mengarahkan pihak universiti dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) melepaskan serta-merta sebarang tindakan disiplin terhadap mahasiswa yang dikenakan hukuman semata-mata kerana menyuarakan pandangan atau kritikan kepada pimpinan negara. - Gambar fail/Astro AWANI
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengarahkan pihak universiti dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) melepaskan serta-merta sebarang tindakan disiplin terhadap mahasiswa yang dikenakan hukuman semata-mata kerana menyuarakan pandangan atau kritikan kepada pimpinan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, universiti wajib kekal sebagai medan wacana bebas dan pemikiran kritis tanpa terus disekat oleh peraturan lapuk era 1970-an.

Menurut Anwar, pendirian berkenaan turut ditegaskan sekali lagi dalam mesyuarat Jemaah Menteri baru-baru ini bagi memastikan ruang kebebasan bersuara diberikan sepenuhnya kepada golongan mahasiswa.

"Mulai esok, kalau ada mahasiswa yang diberikan tindakan disiplin semata-mata kerana suara mereka, kritikan mereka, termasuk terhadap Perdana Menteri, saya rasa mereka harus dilepaskan sepenuhnya.

"Sama ada kita setuju atau tidak, itu soalan lain. Kita boleh berbahas dan kita boleh tuntut anak-anak mahasiswa itu pertahankan hujah mereka, tetapi mesti jadikan universiti sebagai gelanggang untuk pemikiran kritis dan pemikiran segar. 

“Kalau ada peraturan HEP dan sebagainya, itu semua harus dilonggarkan serta-merta," tegas beliau lagi.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama sempena Forum Ilmuwan Malaysia MADANI Siri 13 yang berlangsung di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya, di sini pada Rabu.

Dalam pada itu Perdana Menteri memberi peringatan jelas bahawa kebebasan bersuara bukanlah lesen mutlak untuk melakukan kekacauan atau merosakkan harta benda awam.

Mengimbau pengalamannya sewaktu menjawat jawatan Menteri Pendidikan dahulu, beliau menegaskan bantahan dan penyerahan memorandum dibenarkan secara aman, namun tindakan undang-undang tetap diambil sekiranya melibatkan salah laku jenayah.

"Bila saya kata kebebasan, bolehkah buat apa sahaja? Boleh nak bersuara, nak beri pandangan, nak hantar memo kepada Naib Canselor atau Menteri. Tetapi ada batasnya.

“You can't disrupt, you cannot destroy public property. Jangan sampai memecahkan pintu atau merosakkan kemudahan. Kalau kes polis atau peraturan jenayah, biar polis yang tangani," jelas beliau.

Selain itu, Anwar turut menegur amalan protokol yang keterlaluan dan sambutan berlebihan oleh kepimpinan universiti setiap kali menteri hadir ke kampus.

Beliau mahu budaya tersebut diubah kepada pendekatan yang lebih bersahaja dan dekat dengan warga mahasiswa sendiri.

Must Watch Video

Advertisement