AYER KEROH: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memukul dan menekan muka isterinya dengan penumbuk sehingga cedera, pada tahun lalu.

Tertuduh, Jason Pereira, 51, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus dua pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Mazana Sinin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada isterinya yang berusia 48 tahun dengan cara mencengkam bahagian muka dan menekan penumbuk di mulut mangsa.

Difahamkan, tertuduh bertindak sedemikian selepas bertengkar dengan mangsa membabitkan masalah wang.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 8.40 malam di sebuah rumah di Kampung Portugis, Ujong Pasir dalam daerah Melaka Tengah pada 10 Januari 2022 lalu.

Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut didakwa atas satu lagi pertuduhan melakukan khianat terhadap kerusi kayu sehingga patah dengan niat untuk menyebabkan kerosakan kepada harta bernilai RM50 pada waktu, tempat dan tarikh yang sama.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan, J. Banusha  mencadangkan jaminan RM15,000 beserta syarat tambahan iaitu tertuduh dilarang mendekati atau menganggu mangsa yang juga saksi pendakwaan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan dia hanya bekerja sebagai nelayan dan tidak mempunyai pendapatan tetap.

Selepas mendengar hujahan kedua pihak, Mazana kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti dimohon pihak pendakwaan.

Mahkamah turut menetapkan 13 Febuari ini bagi lantikan peguam dan serahan dokumen.