Setakat ini belum ada mana-mana arahan diterima bagi menutup tadika di kawasan Daro ekoran kematian seorang kanak-kanak berusia dua tahun lima bulan kerana disyaki dijangkiti wabak penyakit kaki, tanggan dan mulut (HMFD) semalam.

Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi ketika dihubungi mengesahkan, tiada arahan diterima di kawasannya itu bagi menutup tadika atau sekolah mahupun premis berdekatan.

"Kita akan tunggu pengesahan terkini kerana setakat ini ia cuma disyaki.

"Sebaik ada keputusan rasmi, saya sendiri akan turun padang bagi tindakan seterusnya," katanya dihubungi hari ini.

Difahamkan hari ini telah diadakan mesyuarat khas di Hospital Daro berhubung kes berkenaan.

BACA: Kanak-kanak di Mukah, Sarawak maut akibat 'pneumonia', bukan HFMD

Justeru kata Ahmad Johnie, Jabatan Kesihatan juga harus mengambil inisiatif untuk memberi kesedaran kepada penduduk kampung.

"Orang kampung harus didedah dengan ilmu penjagaan kesihatan mengelak dijangkiti penyakit kerana pencegahan awal lebih baik," katanya.

Jelasnya, langkah pencegahan diambil terutama aspek kebersihan kerana HFMD sejenis penyakit berhubung rapat dengan kebersihan.

Katanya, dalam keadaan sekarang ibu bapa jangan membawa anak ke tempat awam yang sesak supaya tidak terdedah dengan penyakit.

"Paling penting walaupun duduk di luar bandar, ibu bapa harus peka perubahan dan tanda awal gejala HMFD. Dapatkan rawatan segera," katanya.

Sementara itu, saudara terdekat Farhan Lukman Abdullah, kanak-kanak yang maut disyaki dijangkit HMFD ketika dihubungi mendakwa belum menerima sebarang arahan susulan daripada jabatan kesihatan berdekatan.

"Selepas majlis pengebumian arwah, kami menjalani rutin harian macam biasa," katanya.

Menurutnya, sebentar tadi Jabatan Kesihatan juga telah melakukan kerja-kerja pembersihan berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) biasa di rumah mangsa.

"Memang diadakan pembersihan namun tiada arahan untuk tutup rumah atau pindah keluar. Kita akan tahu lebih lanjut sehingga keputusan rasmi keluar," katanya yang enggan namanya disiar.