KUCHING: Sarawak menyaksikan trend peningkatan jangkitan kes penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) pada minggu Epid ke-19 (8 hingga 14 Mei) iaitu sebanyak 148 kes dilaporkan berbanding 25 kes pada minggu Epid sebelumnya menjadikan jumlah kumulatif kes kepada 483.

Kata Pengarah Kesihatan Sarawak Dr Ooi Choo Huck, peningkatan kes di negeri ini adalah drastik walaupun masih berada di bawah paras berjaga-jaga yang mana tahap waspada adalah 282 kes.

“Perlu ditekankan bahawa ibu bapa kepada kanak-kanak yang menghidapi HFMD dinasihatkan supaya tidak menghantar mereka ke tadika, taska atau sekolah atau bermain dengan kanak-kanak lain semasa mereka sakit, bagi mencegah dan mengurangkan penularan penyakit.

“Mereka juga dinasihatkan untuk membawa anak mereka untuk mendapatkan rawatan perubatan awal. Sekiranya anak-anak kelihatan tidak sihat, lesu atau semakin tenat, ibu bapa dinasihatkan supaya membawa mereka berjumpa dengan doktor atau ke hospital terdekat untuk pemeriksaan dan rawatan perubatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan kepada Astro AWANI pada Khamis.

Setakat 14 Mei 2022, bahagian Miri melaporkan kes kumulatif tertinggi iaitu 90 kes diikuti Kuching (74), Limbang (61), Samarahan (57) dan Bintulu (46).

Sementara itu, Dr Ooi turut menasihatkan pihak yang bertanggungjawab untuk tempat seperti taman asuhan kanak-kanak, tadika dan juga sekolah untuk melaksanakan apa-apa nasihat dan arahan yang diberikan oleh pegawai kesihatan bagi mencegah penularan penyakit ini.

“Kesihatan keseluruhan kanak-kanak perlu diperiksa setiap hari semasa ketibaan, mencatat sebarang gejala atau tingkah laku yang luar biasa. Mana-mana kanak-kanak yang didapati menghidap sebarang penyakit berjangkit, hendaklah diasingkan serta-merta dengan menghantarnya sementara di ruang sakit.

“Penyelia hendaklah memastikan kebersihan taman asuhan kanak-kanak, tadika dan persekitaran sekolah terjaga termasuk mencuci semua mainan dan permukaan meja, kerusi, lantai, dan sebagainya, yang telah tercemar dengan air liur,” katanya.

Beliau turut menegaskan, sekiranya perlu pihaknya akan mengambil tindakan menutup sementara pusat asuhan kanak-kanak, tadika, atau pra sekolah bagi mengekang HMFD daripada terus menular di negeri ini.

“Sekiranya perlu bagi mengekang penularan penyakit berjangkit yang serius, Jabatan Kesihatan Sarawak mungkin akan melakukan penutupan pusat asuhan kanak-kanak/ tadika/ prasekolah di bawah Seksyen 18(1)(d), AKTA 342 Pencegahan dan Kawalan Akta Penyakit Berjangkit 1988,” tegasnya.