[LAPOR LANGSUNG] 9 rakyat Malaysia ditahan rejim Israel
MALAYSIA

HIES 2024: Kadar kemiskinan tegar negara turun kepada 0.09 peratus

Bernama 08/10/2025 | 12:15 MYT
Amir Hamzah berkata HIES merupakan instrumen statistik yang digunakan untuk mengukur kemajuan dan peningkatan status sosioekonomi isi rumah. - Gambar fail/Bernama
PUTRAJAYA: Malaysia telah mencapai matlamat utama apabila kemiskinan tegar hampir dinoktahkan kepada 0.09 peratus berdasarkan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah (HIES) 2024 yang diumumkan hari ini, berbanding 0.2 peratus direkodkan pada 2022.

Menteri Ekonomi Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata pencapaian itu menunjukkan pelbagai inisiatif peningkatan pendapatan rakyat, pemerkasaan ekonomi komuniti bandar dan pembangunan kesejahteraan rakyat menunjukkan keberkesanan dan akan diteruskan oleh kerajaan.

Berdasarkan amalan antarabangsa, sasaran miskin tegar tercapai apabila kadarnya adalah dalam julat tiga peratus dan ke bawah.

"Taraf hidup rakyat bertambah baik dengan pendapatan purata bulanan isi rumah meningkat daripada RM7,901 pada 2019 kepada RM8,479 pada 2022, seterusnya kepada RM9,155 pada 2024 iaitu peningkatan sebanyak 3.8 peratus berbanding tahun 2022.

"Pekali Gini yang mengukur jurang kesenjangan pendapatan pula semakin mengecil, daripada 0.404 pada 2022 kepada 0.39 pada 2024. Ini merupakan satu daripada indikator yang baik dalam landskap sosiekonomi negara," katanya semasa berucap pada Majlis Peluncuran Laporan HIES 2024, di sini hari ini.

Berdasarkan laporan HIES 2024, Amir Hamzah berkata insiden kemiskinan mutlak juga menunjukkan penurunan kepada 5.1 peratus pada 2024 berbanding 6.2 peratus berbanding 2022.

Mengulas lanjut, beliau berkata HIES merupakan instrumen statistik yang digunakan untuk mengukur kemajuan dan peningkatan status sosioekonomi isi rumah.

Katanya survei itu merupakan satu daripada sumber utama bagi merangka dasar ekonomi dan sosial negara termasuk pembasmian kemiskinan bagi warganegara, meningkatkan pendapatan rakyat, mengurangkan jurang ketidaksamarataan bagi dimensi pendapatan serta menangani kos sara hidup rakyat.

"Berdasarkan dapatan HIES ini, kerajaan dapat menyediakan statistik dan maklumat berkaitan tingkatpendapatan, corak perbelanjaan isi rumah, status kemiskinan dan penentuan kumpulan isi rumah mengikutpendapatan di Malaysia.

"Manfaat penemuan survei ini antaranya dapat diterjemahkan melalui keberkesanan pelaksanaan program kerajaan bagi pembasmian kemiskinan di Malaysia iaitu kadar kemiskinan telah menurun dengan signifikan iaitu 49.3 peratus pada 1970 kepada 6.2 peratus pada 2022," katanya.

Beliau berkata kerajaan komited untuk membasmi kemiskinan dalam semua bentuk, tanpa mengira kaum, agama atau wilayah.

"Pendekatan membasmi kemiskinan perlu fokus kepada peningkatan mobiliti sosial, bukan sekadar bantuan sementara.

"Mobiliti sosial rakyat akan diperkukuh melalui usaha memperkasakan mereka dalam menghadapi tekanan kos sara hidup, membina sistem sosial berteraskan prinsip Insan MADANI serta meningkatkan kualiti kehidupan secara menyeluruh," katanya.

Sementara itu, Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam pembentangan HIES mendedahkan bahawa enam negeri mencatatkan pendapatan penengah isi rumah melebihi paras nasional iaitu Kuala Lumpur (RM10,802), Putrajaya (RM10,769), Selangor (RM10,726), Johor (RM7,712), Pulau Pinang (RM7,386) dan Labuan (RM7,383).

Katanya Pulau Pinang merekodkan pertumbuhan tahunan tertinggi pada 6.4 peratus manakala Perak mencatat pertumbuhan terendah pada 2.1 peratus.

Beliau berkata trend agihan pendapatan menunjukkan perkembangan positif secara beransur-ansur iaitu isi rumah dalam kumpulan B40 yang merangkumi 3.28 juta isi rumah, menerima had pendapatan sehingga RM5,859.

"Kumpulan pendapatan M40 pula di antara RM5,860 hingga RM12,679, manakala 1.64 juta isi rumah dalam kumpulan pendapatan T20, menerima pendapatan RM12,680 dan ke atas," katanya.

-- BERNAMA



#kos sara hidup #HIES 2024 #landskap sosiekonomi #miskin tegar