Hilang kawalan dipercayai menjadi punca kemalangan dua buah lori di Kilometer 3, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik - Jeli, berhampiran Kawasan Rehat dan Rawat Perah, dekat sini malam tadi.

Ketika kejadian yang mengakibatkan dua maut dan dua cedera itu, permukaan jalan dipercayai basah kerana cuaca hujan, kata Ketua Polis Daerah Gerik, Supt Zulkifli Mahmood.

Mangsa yang maut ialah pemandu kedua-dua lori, Saidon Abdullah, 46 tahun, dan Muhammad Khairul Izham Mohd Gebing, 27 tahun, manakala yang cedera ialah penumpang kedua-dua lori, Siti Addina Sofea Saidon, 13 tahun, dan Mohd Hilmi Mohd Yusoff, 21 tahun.

Menurut Zulkifli, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu kira-kira jam 9.45 malam.

Siasatan awal mendapati, lori kosong dipandu Saidon dari arah Jeli menghala ke Gerik, manakala sebuah lagi lori dengan muatan ikan dipandu Muhammad Khairul Izham dari arah Gerik ke Jeli.

“Apabila sampai di tempat kejadian, Saidon dipercayai telah gagal mengawal kenderaan di laluan selekoh dan hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung di bahagian hadapan.

“Akibat daripada kemalangan itu, Saidon dan Muhammad Khairul Izham disahkan meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan.



Foto JBPM

Menurutnya, Siti Addina Sofea yang cedera di kedua-dua mata telah dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh manakala Mohd Hilmi hanya cedera ringan di jari kanan dan dahi.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.