MALAYSIA

Himpunan Sumud Nusantara raikan wira GSF di Axiata Arena esok

Astro Awani 07/10/2025 | 03:55 MYT
Himpunan bermula jam 6 petang itu dianjurkan sebagai simbol perpaduan serantau dan tanda penghargaan kepada keberanian 23 sukarelawan Global Sumud Flotila yang menyertai misi kemanusiaan ke Gaza. - Gambar Astro AWANI/ HILAL AZMI
KUALA LUMPUR : Semangat solidariti rakyat Malaysia terhadap perjuangan Palestin bakal disemarakkan menerusi Himpunan Sumud Nusantara: Gelombang Malaysia, Palestin Merdeka yang akan diadakan esok (8 Oktober) di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini

Himpunan bermula jam 6 petang itu dianjurkan sebagai simbol perpaduan serantau dan tanda penghargaan kepada keberanian 23 sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) yang dihalang secara ganas oleh rejim Zionis semasa menyertai misi kemanusiaan ke Gaza.

Himpunan Sumud Nusantara dijangka menghimpunkan ribuan rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang, termasuk pertubuhan bukan kerajaan, aktivis kemanusiaan dan pertubuhan belia di bawah tema “Gelombang Malaysia, Palestin Merdeka.”

Penganjuran ini turut membawa mesej bahawa perjuangan rakyat Palestin bukan hanya isu agama, tetapi juga isu kemanusiaan sejagat yang memerlukan penyatuan seluruh rantau Nusantara.

Inisiatif ini selaras dengan pendirian kerajaan pimpinan kerajaan MADANI yang konsisten dalam menentang kekejaman rejim Israel dan mendesak agar akses bantuan kemanusiaan ke Gaza dibuka tanpa sekatan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menyifatkan para sukarelawan terbabit sebagai wira dan wirawati kemanusiaan negara, yang menjunjung tinggi nilai kemanusiaan sejagat tanpa mengenal sempadan.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas keberanian, kecekalan dan pengorbanan mereka dalam memperjuangkan nasib rakyat Gaza yang terus dizalimi. Mereka adalah lambang keberanian rakyat Malaysia,” kata Perdana Menteri dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau turut memaklumkan, hasrat kerajaan untuk menganjurkan himpunan khas bagi meraikan kepulangan mereka, di samping meneruskan gelombang solidariti rakyat Malaysia bersama saudara-saudara di Gaza.





#Gaza #Himpunan Sumud 'Nusantara #Axiata Arena #Global Sumud Flotilla