MALAYSIA

Himpunan Turun Anwar: DBKL alih pentas didirikan tanpa kebenaran

Astro Awani 26/07/2025 | 06:25 MYT
Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, tiada permohonan rasmi dikemukakan kepada DBKL berkaitan pembinaan struktur berkenaan. - Gambar/ Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Pentas yang didirikan oleh penganjur perhimpunan 'Merayakan Demokrasi: Himpunan Turun Anwar' yang ditunjangi Pas di Dataran Merdeka pada Sabtu dikenal pasti dibina tanpa kebenaran rasmi daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, struktur pentas tersebut tidak menjamin keselamatan.

"Tiada permohonan rasmi dikemukakan kepada DBKL berkaitan pembinaan struktur berkenaan. Strukturnya tidak menjamin keselamatan, selain tiada maklumat jelas mengenai jumlah individu yang akan berada di atasnya.

“Dalam permohonan awal antara polis dan pihak penganjur, hanya dua kenderaan pacuan empat roda dipersetujui untuk dijadikan pentas,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sementara itu, DBKL memaklumkan bahawa pihaknya telah mengalihkan peralatan khemah yang dibawa masuk ke kawasan tersebut kerana hanya kenderaan milik DBKL dibenarkan berada di lokasi berkenaan.

Terdahulu, satu hantaran yang mendakwa pentas yang didirikan sempena himpunan berkenaan diminta dialihkan oleh pihak berkuasa, menjadi tular di media sosial.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Khamis, mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar memberikan kerjasama penuh bagi memastikan 'Himpunan Turun Anwar' yang ditunjangi Pas berlangsung dengan aman, lancar dan tanpa sebarang intimidasi.


#Himpunan Turun Anwar #Khemah #DBKL #sita khemah