MALAYSIA

Himpunan Turun Anwar: Kerajaan MADANI komited prinsip kebebasan bersuara - Saifuddin

Bernama 26/07/2025 | 08:42 MYT
Saifuddin berkata atas prinsip itu, pihaknya tidak terlalu memberi tumpuan kepada perhimpunan yang berlangsung di ibu negara hari ini. - Gambar fail
ALOR SETAR: Kerajaan MADANI komited dengan prinsip Perlembagaan yang menjamin kebebasan bersuara rakyat negara ini, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.


Ringkasan AI
  • Kerajaan MADANI komited terhadap prinsip Perlembagaan yang menjamin kebebasan bersuara, dengan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution menyatakan bahawa perhimpunan di ibu negara tidak diberi tumpuan kerana ia selaras dengan keputusan mahkamah yang tidak mewajibkan makluman kepada polis.
  • Saifuddin menegaskan bahawa tuntutan terhadap kerajaan sepatutnya dibuat melalui Parlimen, bukan di luar, dan menyelar tindakan pembangkang yang tidak menggunakan ruang demokrasi seperti usul undi tidak percaya walaupun diberi keutamaan oleh Perdana Menteri.
  • Beliau turut mempersoalkan niat sebenar perhimpunan yang boleh menimbulkan keresahan dan memberi isyarat negatif kepada pelabur, ketika ekonomi negara sedang menunjukkan tanda-tanda pemulihan.


Beliau berkata atas prinsip itu, pihaknya tidak terlalu memberi tumpuan kepada perhimpunan yang berlangsung di ibu negara hari ini.

"Bila mahkamah kata tak perlu maklumkan kepada polis, kita ikut...mereka minta (Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim) turun, Anwar dah turunkan harga minyak. Mereka minta Anwar turun, Anwar turunkan tarif elektrik. Masih nak turun lagi?

"Tapi isu pokok yang saya nak sebut ialah kalau pembangkang betul-betul menghormati prinsip demokrasi, saya nak lontarkan dua soalan, mereka hendak lakukan di luar Parlimen atau di dalam Parlimen?" katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Pusat Temu Duga Kanak-kanak (CIC) Kontinjen Kedah di sini hari ini, yang turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Awang Alik Jeman.

Saifuddin Nasution berkata jika sebarang tuntutan terhadap kerajaan dibuat di luar Parlimen seperti melakukan perhimpunan, ia tidak akan memberi apa-apa kesan.

"Dalam Parlimen, Perdana Menteri dah buka seluas-luasnya peluang dan pembangkang boleh buat usul undi tak percaya.

"Dalam kes ini, Perdana Menteri kata usul pembangkang akan didahulukan, urusan kerajaan akan ditangguh dulu. Tapi sidang Parlimen dah lima hari, sunyi sepi," katanya.

Saifuddin Nasution berkata jika pihak pembangkang memahami proses demokrasi dan mahu menggunakan jalur demokrasi untuk menjatuhkan seseorang, ia sepatutnya melalui Parlimen.

"Yang ada, riuh rendah kat luar nak berkumpul. Jadi, rakyat boleh tengok sekarang ini, nak pegang prinsip demokrasi atau sebenarnya nak wujudkan keresahan?

"Nak paparkan wajah hodoh, nak bagi isyarat buruk kepada potensi pelabur, ketika ekonomi sedang mula bergerak ke arah yang lebih baik," katanya.

-- BERNAMA

#Saifuddin Nasution #Himpunan Turun Anwar #Merayakan Demokrasi #Anwar Ibrahim