MALAYSIA

Himpunan Turun Anwar: Puluhan ribu peserta banjiri Dataran Merdeka

Khalis Khadir 26/07/2025 | 07:02 MYT
Peserta mula memenuhi kawasan dataran sekitar jam 2.50 petang, dengan suasana semakin gamat apabila mereka melaungkan slogan mendesak peletakan jawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Gambar/ Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Dataran Merdeka kelihatan dibanjiri puluhan ribu peserta 'Himpunan Turun Anwar' yang tiba dengan berarak dari Masjid Negara.

Walaupun begitu, unjuran tidak rasmi dikeluarkan pasukan keselamatan buat masa ini, jumlah peserta dianggarkan sekitar 10,000 hingga 15,000 peserta.

Peserta mula memenuhi kawasan dataran sekitar jam 2.50 petang, dengan suasana semakin gamat apabila mereka melaungkan slogan mendesak peletakan jawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kelihatan ramai membawa sepanduk dan kain rentang yang memaparkan pelbagai mesej bantahan, termasuk isu kos sara hidup, kebebasan bersuara dan dasar kerajaan yang didakwa tidak mesra rakyat.

Beberapa penceramah dalam kalangan pemimpin pembangkang dijangka menyampaikan ucapan sebagai kemuncak himpunan itu yang ditunjangi oleh Pas.

BACA: [TERKINI] Merayakan Demokrasi: Himpunan Turun Anwar di ibu negara hari ini

Kawalan keselamatan di sekitar Dataran Merdeka turut diperketat dengan kehadiran pihak polis dan skuad Unit Amal Pas yang memantau secara berterusan dari awal perarakan sehingga peserta tiba di lokasi utama.

Sebelum ini, Perdana Menteri menerusi Setiausaha Akhbarnya, Tunku Nashrul Abaidah memaklumkan, beliau menghormati hak berhimpun dan mengarahkan polis memberi kerjasama agar himpunan berjalan dengan aman.

Anwar pada Khamis mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar memberikan kerjasama penuh bagi memastikan perhimpunan 'Merayakan Demokrasi: 'Himpunan Turun Anwar' yang ditunjangi Pas berlangsung dengan aman, lancar dan tanpa sebarang intimidasi.



#Himpunan Turun Anwar #Dataran Merdeka #Merayakan Demokrasi #jumlah peserta perhimpunan #terkini