MALAYSIA

Himpunan Turun Anwar: UMNO akan siasat dakwaan ahli sertai perhimpunan

Sinar Harian 26/07/2025 | 11:27 MYT
Ahmad menyantuni ahli dan perwakilan yang hadir dalam Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bagan Serai di Dewan Dato' Zainal Abidin Zin, Bagan Serai pada Sabtu.
BAGAN SERAI: UMNO akan menyemak dan menunggu laporan penuh sebelum mengambil sebarang tindakan terhadap dakwaan penglibatan ahlinya dalam perhimpunan ‘Turun Anwar’ yang diadakan di ibu negara pada Sabtu.


Ringkasan AI
  • UMNO akan menyemak dan menunggu laporan penuh sebelum mengambil tindakan terhadap dakwaan penglibatan ahlinya dalam perhimpunan Turun Anwar, dengan Ahmad Maslan menegaskan keperluan siasatan bagi memastikan kesahihan maklumat.
  • Beliau menyatakan bahawa kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim berada dalam keadaan stabil dengan sokongan 153 ahli Parlimen, dan mempersoalkan keperluan untuk mendesak peletakan jawatan Perdana Menteri.
  • Ahmad Maslan menyifatkan perhimpunan tersebut sebagai tindakan yang boleh mencalarkan imej negara di peringkat antarabangsa, walaupun Perdana Menteri telah melaksanakan pelbagai janji termasuk penurunan harga minyak dan tarif elektrik.


Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, dakwaan tersebut perlu disiasat terlebih dahulu bagi memastikan kesahihan penglibatan mana-mana ahli UMNO dalam perhimpunan berkenaan.

“Saya kena semak balik dan tentunya Pejabat UMNO akan meneliti serta membuat apa-apa keputusan. Kita tunggu laporan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bagan Serai di Dewan Dato’ Zainal Abidin Zin, di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Bagan Serai, Datuk Sham Mat Sahat dan Ketua Pemuda UMNO Perak, Nazirul Jamaluddin.

Beliau memberi contoh bagaimana maklumat awal yang tersebar berkait insiden kemalangan membabitkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik yang kononnya berpunca daripada jalan berlubang dan tayar pecah, akhirnya terbukti tidak benar selepas siasatan lanjut dilakukan.

“Sama juga dalam hal ini. Kita kena pastikan (sama ada ada atau tidak orang UMNO terlibat). Tidak boleh buat keputusan tanpa semakan,” ujarnya.

Mengulas mengenai perhimpunan tersebut, Timbalan Menteri Kerja Raya itu menegaskan bahawa kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim kini berada dalam keadaan stabil dengan sokongan majoriti 153 ahli Parlimen – jumlah terbesar sejak era Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2004.

“Kalau sokongan setakat 113 kerusi, mungkin orang boleh persoal, tetapi ini 153. Kalau 10 orang lari pun masih ada 143. Jadi apa sebab perlu turunkan Perdana Menteri? Sokongan kuat, ekonomi pun sedang menunjukkan perkembangan yang baik,” katanya.

Beliau menyifatkan tindakan mengadakan perhimpunan mendesak peletakan jawatan Perdana Menteri hanya mencalarkan imej negara di peringkat antarabangsa, seolah-olah Malaysia sedang bergolak.

“Bukannya Perdana Menteri tidak berbuat sesuatu. Beliau sudah pun melaksanakan banyak perkara termasuk janji-janji dalam ucapannya untuk menurunkan harga minyak dan kadar tarif elektrik. Hanya ada satu dua sahajalah lagi,” katanya. - Sinar Harian






#Himpunan Turun Anwar #ahli UMNO #Ahmad Maslan #Anwar Ibrahim