Hina Agong: Pemilik akaun Facebook @SamBanjar Perak ditahan

Bernama
Ogos 15, 2023 15:42 MYT
Mohd Shuhaily berkata lelaki itu direman empat hari hingga 18 Ogos ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang dipercayai pemilik akaun Facebook @SamBanjar Perak hari ini ditahan kerana memuat naik hantaran berbaur hasutan serta menghina Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata lelaki berusia 43 tahun itu ditahan di Bera, Pahang.
"Lelaki berkenaan disyaki pemilik akaun Facebook @SamBanjar Perak telah memuat naik hantaran berkecenderungan menghasut bagi mendatangkan penghinaan atau membangkitkan perasaan tidak setia terhadap Yang di-Pertuan Agong," katanya dalam kenyataan di sini malam ini.
Beliau berkata lelaki itu direman empat hari hingga 18 Ogos ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
"Orang ramai digesa agar menjadi pengguna media sosial yang bijak dan berhemah dan mengelakkan daripada mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menggugat keamanan dan perpaduan terutamanya melibatkan isu 3R (raja, agama, kaum)," katanya.
-- BERNAMA
#Facebook #akta hasutan #Bukit Aman #Yang di-Pertuan Agong