Terkini: Kes Pelajar Jatuh dari Asrama di Sabak Bernam – Ikuti perkembangan di sini
MALAYSIA

Hina mahkamah, Papagomo dihukum penjara 30 hari

Bernama 27/08/2025 | 09:45 MYT
Pesuruhjaya Kehakiman Gan Techiong mendapati Wan Muhammad Azri (tengah) bersalah menghina mahkamah kerana melanggar perintah berkenaan sebanyak dua kali. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menjatuhkan hukuman penjara 30 hari terhadap blogger Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papagomo, selepas didapati melanggar perintah injunksi berhubung saman fitnah yang difailkan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.


Ringkasan AI
  • Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 30 hari ke atas blogger Papagomo kerana melanggar perintah injunksi dalam kes saman fitnah oleh bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
  • Permohonan maaf Papagomo di media sosial dianggap tidak ikhlas, kerana disertakan muzik latar dan dimainkan laju, serta diikuti dengan video penjelasan yang menunjukkan tiada rasa kesal.
  • Papagomo turut diperintah membayar kos RM30,000 kepada Razarudin, sementara pelaksanaan hukuman penjara ditangguhkan sementara menunggu rayuan.


Pesuruhjaya Kehakiman Gan Techiong ketika membacakan keputusan itu, mendapati Wan Muhammad Azri bersalah menghina mahkamah kerana melanggar perintah berkenaan sebanyak dua kali.

Bagi pelanggaran pertama awal tahun ini, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 15 hari, manakala bagi pelanggaran kedua pada Mei lalu, beliau turut dikenakan 15 hari penjara.

Gan memerintahkan hukuman itu berjalan secara berasingan, menjadikan tempoh keseluruhan 30 hari. Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan.

Mahkamah turut memerintahkan Wan Muhammad Azri membayar kos RM30,000 kepada Razarudin dalam tempoh tiga hingga empat hari.

Injunksi itu sebelum ini dikeluarkan bagi menghalang Wan Muhammad Azri daripada mengeluarkan atau mengulang sebarang kenyataan berbaur fitnah terhadap Razarudin di media sosial.

Bagaimanapun, mahkamah mendapati permohonan maaf yang dimuat naik di media sosial pada 30 April lepas tidak memadai.

Video permohonan maaf itu dianggap tidak jelas kerana dimainkan dengan kelajuan tinggi, selain disertakan muzik latar daripada filem klasik P. Ramlee, Pendekar Bujang Lapok.

"Penggunaan muzik P. Ramlee menjadikan video itu seolah-olah hiburan dan bukannya permohonan maaf yang ikhlas. Tujuan permohonan maaf adalah untuk membersihkan penghinaan terhadap mahkamah. Atas alasan ini sahaja sudah cukup untuk mensabitkan beliau bersalah menghina mahkamah," kata Gan.

Beliau menegaskan, selepas memohon maaf tanpa syarat di mahkamah pada 30 April lepas, Wan Muhammad Azri sepatutnya menahan diri daripada membuat sebarang kenyataan lanjut.

Namun, katanya, blogger berkenaan gagal berbuat demikian apabila memuat naik video baharu keesokan harinya bagi menjelaskan permohonan maaf tersebut.

"Video berkenaan tidak menunjukkan sebarang kekesalan, malah jelas bahawa permohonan maaf dibuat hanya untuk mengelak hukuman menghina mahkamah," katanya.

Pada 27 Disember tahun lepas, Razarudin memfailkan saman fitnah dengan nilai ganti rugi RM3 juta terhadap Wan Muhammad Azri membabitkan satu kenyataan yang turut mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

-- BERNAMA


#Papagomo #dihukum penjara #menghina mahkamah #saman #Bekas Ketua Polis Negara #Razarudin Husain #terkini