Skip to main content

Malaysia

Hina Sultan Selangor, polis terima 280 laporan

71767606875_PDRMPolis.jpg
Laporan polis diterima daripada pelbagai pihak yang mengecam tindakan provokasi berkenaan.

KUALA LUMPUR: Polis Selangor mengesahkan telah menerima 280 laporan dari seluruh negara berhubung penularan satu karikatur di media sosial yang didakwa mengandungi unsur penghinaan terhadap Sultan Selangor pada 25 April lalu.

Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, laporan polis diterima daripada pelbagai pihak yang mengecam tindakan provokasi berkenaan.

Advertisement

Siasatan kini dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.

“Fokus utama siasatan yang sedang giat dijalankan oleh polis dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) adalah untuk mengesan serta menangkap pelaku yang bertanggungjawab dalam mencemar kedaulatan Institusi Diraja,” katanya dalam kenyataan, pada Isnin.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar menyerahkan sepenuhnya proses siasatan kepada pihak berkuasa dan tidak membuat sebarang ulasan atau spekulasi yang boleh mengganggu perjalanan kes.

“Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa mengikut keperluan,” katanya lagi.

Pada Ahad lalu, seorang lelaki berusia 30-an ditahan di kawasan Bukit Mertajam, Pulau Pinang bagi membantu siasatan berhubung hantaran gambar berunsur penghinaan terhadap Sultan Selangor, dimuat naik melalui akaun Facebook.

Penahanan lelaki tersebut dibuat pukul 7.10 malam hari ini oleh sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang dengan kerjasama MCMC.

 

 

Must Watch Video