Hishammuddin jalani kuarantin, tidak sertai mesyuarat ASEAN-China

Nailah Huda
Jun 6, 2021 04:15 MYT
Datuk Seri Hishammuddin Hussein diwajibkan menjalani kuarantin dan mengamalkan pengasingan diri walaupun didapati negatif melalui dua ujian saringan PCR. Foto - Twitter @HishammuddinH2O
KUALA LUMPUR: Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Hussein tidak akan menyertai Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN-CHINA di Chongqing, China esok selepas beliau disahkan sebagai kontak rapat kepada individu positif COVID-19.
Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa beberapa lawatan susulan ke Mesir, Kuwait dan Qatar turut akan ditangguhkan.
“Walaupun Menteri Luar telah menjalani dua ujian saringan PCR yang didapati negatif - berdasarkan garis panduan Kementerian Kesihatan (KKM), Menteri Luar diwajibkan menjalani kuarantin dan pengasingan diri,” menurut kenyataan Wisma Putra.
Hishammuddin turut memaklumkan perkara berkenaan menerusi akaun rasminya di laman sosial Twitter.

Saya telah dikenalpasti oleh @KKMPutrajaya sebagai kontak rapat kepada individu yang disahkan positif #COVID19. Walaupun kedua-dua ujian PCR saya negatif, namun saya tetap akan jalani kuarantin wajib seperti diarahkan KKM. pic.twitter.com/CdYXCuClqK

— Hishammuddin Hussein (@HishammuddinH2O) June 6, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Justeru itu, Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar akan mewakili Hishammuddin sebagai ketua delegasi Malaysia ke mesyuarat khas itu.
Wisma Putra semalam mengumumkan bahawa Hishammuddin dijadual mengadakan mesyuarat dua hala bersama rakan sejawatnya dari China, Wang Yi bagi membincangkan situasi di Laut China Selatan susulan insiden pencerobohan ruang udara negara oleh tentera udara China.
Manakala bagi lawatan rasmi ke Mesir, Kuwait dan Qatar, Kementerian Luar sedang bekerja rapat dengan Kementerian Luar di negara-negara tersebut bagi menetapkan tarikh baru untuk tujuan lawatan itu.
Menurut Wisma Putra, lawatan ke negara-negara Asia Barat itu antaranya bertujuan untuk menekankan pendirian Malaysia berhubung konflik Israel-Palestin.
#Hishammuddin Hussein #Wisma Putra #Kementerian Luar #COVID-19 #China #ASEAN #wang yi #pencerobohan #ruang udara #Qatar #Kuwait #Mesir #lawatan rasmi #kuarantin #kontak rapat