HKL minta bantuan kesan waris pesakit warga emas sebatang kara

Dania Zainuddin
Januari 10, 2018 14:32 MYT
Ishak (gambar) sedang dirawat di Wad Ortopedik 1, Hospital Kuala Lumpur dan dalam keadaan kurang stabil. - Foto HKL
Hospital Kuala Lumpur (HKL) meminta bantuan orang ramai mengesan waris pesakit lelaki warga emas bernama Ishak bin Ahmad yang dimasukkan ke hospital itu pada 6 Januari lalu.
Pihak Hospital memaklumkan pesakit berkenaan berbangsa Melayu, berusia dalam lingkungan 69 tahun dan dirujuk ke hospital selepas dilanggar motor ketika melintas jalan di sekitar kawasan Chow Kit.
Ketika ini, beliau sedang dirawat di Wad Ortopedik 1, Hospital Kuala Lumpur dalam keadaan kurang stabil.
Setakat ini pihak hospital hanya mendapat sedikit maklumat pengenalan diri pesakit, iaitu nombor kad pengenalan lama; 1783002 yang masih diingatinya.
Selain itu, beliau turut memaklumkan mempunyai seorang adik perempuan yang kini tinggal di Pagoh, Johor, namun pihak hospital masih gagal mengesan warisnya.
Dalam pada itu, orang ramai yang mengenali pesakit tersebut boleh menghubungi pihak wad di talian 03-2615 5555 sambungan 6994/7242/6995 atau Puan Rohana Amdan, Ketua Unit Perhubungan Awam 03-2615 5015/5013.
#hilang #Hospital #Kuala Lumpur #lelaki #Melayu #warga emas #waris