MALAYSIA

HKM2024: Astro AWANI rangkul tiga anugerah

Astro Awani 20/06/2025 | 15:00 MYT
Astro AWANI mencatat pencapaian membanggakan apabila merangkul tiga anugerah dalam Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2024. - Gambar Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Astro AWANI mencatat pencapaian membanggakan apabila merangkul tiga anugerah dalam Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2024.
Hadiah itu disampaikan dalam Malam Wartawan Malaysia 2025 yang dianjurkan di ibu negara, pada Jumaat.
Wartawan foto, Shahir Omar membawa pulang anugerah emas dalam kategori Kewartawanan Foto Terbaik, menerusi paparan imej dalam laporan Linangan air mata mengiringi pemergian Allahyarham Leftenan Komander Wan Rezaudden Kamal.
Anugerah perak pula dimenangi wartawan Hasimi Muhammad dalam kategori Lintas Langsung Berita Terbaik, menerusi liputan mengenai perkembangan pencarian mangsa kejadian tanah mendap di Jalan Masjid India.
Sementara itu, anugerah gangsa bagi kategori Laporan Khas TV Terbaik dimenangi gandingan Ridauddin Daud dan Ab Uzza Ab Latiff menerusi laporan bertajuk Pulau Haba.
Kemenangan ini sekali gus mengukuhkan lagi reputasi Astro AWANI sebagai antara peneraju utama dalam penyampaian berita yang berkualiti dan berimpak tinggi di Malaysia.
Sementara itu, Harian Metro membawa pulang Anugerah Kajai menerusi laporan mengenai kontroversi Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH), manakala anugerah khas disampaikan kepada Allahyarham Rozaid Abdul Rahman.
Anugerah tertinggi Tokoh Wartawan Negara pula dinobatkan kepada Pengerusi Bernama, Datuk Seri Wong Chun Wai.
#GISB Holdings #Masjid India #MPI #Anugerah Emas