DREBAR

Honda hampir untuk lancarkan model ‘fuel cell’ mereka

Astro Publication 30/09/2015 | 15:14 MYT
Seperti biasa, Honda akan mempamerkan pelbagai model kenderaan baharu pada pameran kereta Tokyo (TMS) pada November nanti. Dan yang paling menarik perhatian kami – buat masa sekarang – adalah sebuah model ‘fuel cell’ hidrogen yang akan menjadi model pertama sepertinya daripada pengeluar ini.
Ia dikatakan akan muncul dengan keadaan yang sangat hampir kepada model pengeluaran sebenar namun nama ‘FCV’-nya hanya untuk sementara waktu. Nama yang akan digunakan untuk jualan hanya akan didedahkan di TMS.
Honda FCV ini jelas kelihatan lebih konservatif berbanding pesaingnya, model ‘fuel cell’ hidrogen Toyota Mirai, tetapi ia masih cukup unik untuk mencerminkan sistem pacuannya yang berteknologi tinggi. Tambahan lagi, ia banyak mengekalkan ciri-ciri rekaan model-model Honda yang lain. Mengikut Honda, model ini mampu membawa lima orang penumpang dengan selesa.
Dari segi prestasi, setiap isian tangki hidrogen akan mampu untuk menjana kuasa pemanduan cukup sehingga 700km yang ditambah dengan keseronokan melalui output motor elektrik yang tinggi.
Kelebihan tambahan yang diberikan oleh FCV ini adalah ia mampu untuk bertindak sebagai penjana kuasa elektrik (generator) apabila digabung dengan ‘inverter’ tambahan. Tenaga elektrik yang terhasil boleh digunakan oleh isi rumah ketika kecemasan.
# # fcv # fuel cell #Honda