MALAYSIA
Honda Malaysia panggil balik 87,490 unit, ganti pam bahan api
Honda Malaysia hari ini mengumumkan panggilan balik melibatkan 87,490 unit kenderaan bagi tujuan penggantian pam bahan api sebagai langkah berjaga-jaga demi keselamatan pengguna. - Gambar hiasan Honda Malaysia
KUALA LUMPUR: Honda Malaysia hari ini mengumumkan panggilan balik melibatkan 87,490 unit kenderaan bagi tujuan penggantian pam bahan api sebagai langkah berjaga-jaga demi keselamatan pengguna.
Dalam satu kenyataan, syarikat itu menjelaskan, model-model semasa yang sedang dalam pengeluaran dan jualan tidak terjejas oleh panggilan balik ini.
Menurut Honda Malaysia, dua jenis isu pam bahan api dikenal pasti:
A. Pam Bahan Api Impeller
Sebanyak 84,073 unit model seperti Jazz, City, Civic, Accord, BR-V, HR-V, CR-V dan Odyssey terlibat.
Masalah dikenal pasti berpunca daripada impeller pam bahan api yang boleh mengembang selepas rendaman bahan api berpanjangan, berpotensi menyebabkan enjin gagal dihidupkan atau terhenti semasa pemanduan.

B. Pam Bahan Api Tekanan Tinggi
Sebanyak 3,417 unit model Civic dan CR-V tahun 2023 hingga 2024 terlibat. Pam bahan api tekanan tinggi berisiko retak akibat penggunaan berpanjangan dan tekanan berlebihan, yang boleh menyebabkan kebocoran bahan api atau bau bahan api semasa memandu atau ketika enjin melahu.

Honda Malaysia menegaskan, keselamatan pelanggan adalah keutamaan utama dan akan terus mengambil langkah proaktif serta mengekalkan ketelusan dalam kawalan kualiti.
“Semua pelanggan yang terjejas akan dimaklumkan melalui surat pemberitahuan yang mengandungi butiran lanjut mengenai panggilan balik ini,” menurut kenyataan itu.
Pelanggan juga boleh menyemak status kenderaan mereka melalui aplikasi HondaTouch, laman web rasmi Honda Malaysia atau menghubungi talian bebas tol 1-800-88-2020.
Penggantian pam bahan api akan dilakukan secara percuma dan kos berkaitan akan ditanggung sepenuhnya oleh Honda Malaysia.
Stok alat ganti akan disediakan secara berperingkat.
Setakat ini, tiada insiden kemalangan atau kecederaan dilaporkan di Malaysia berkaitan isu ini.