KUALA LUMPUR: Usaha memperkukuh penglibatan belia dan komuniti setempat di Padang Rengas diteruskan menerusi penganjuran sambutan kemerdekaan dinamakan Hoora Hooray Merdeka pada Ahad (30 Ogos).
Program anjuran Pusat Komuniti Rakyat Padang Rengas (KOMRAT) dengan kerjasama Pertubuhan Generasi Penggerak Kebangsaan Perak (GENK Perak), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Denai Kafe itu akan berlangsung di Denai Kafe, JPS Kuala Kangsar, dari 12 tengah hari hingga 12.30 tengah malam.
Menerusi satu kenyataan, KOMRAT berkata program berkenaan merupakan kesinambungan usaha memperkukuh penglibatan belia dan komuniti setempat menerusi aktiviti kemasyarakatan, kekeluargaan, sukan dan patriotisme.
Hoora Hooray Merdeka turut meneruskan momentum Karnival Belia Madani Padang Rengas serta Program Semarak Maulid Peringkat Parlimen Padang Rengas yang dilaksanakan pada 25 Ogos lalu di Masjid At-Taufiqiah, Chuar Kati.
Program berkenaan akan menampilkan pelbagai aktiviti termasuk Fun Run Merdeka, konvoi dan edaran Jalur Gemilang, autoshow, kejohanan sepak takraw, pertandingan mewarna, Soopa Doopa Balloon Air, cabutan bertuah serta reruai MCMC.
Persembahan artis akan turut diadakan melibatkan Azlan & The Typewriter, Aris Ariwatan dan Floor 88, selain penampilan pengacara Kak Joo dan Dewa Arteh.
“Penganjuran ini turut menjadi platform untuk menghimpunkan kanak-kanak, belia dan keluarga dalam suasana sambutan kemerdekaan yang santai serta inklusif, di samping memperkukuh hubungan dan semangat kebersamaan masyarakat setempat.
“KOMRAT berharap program seperti ini dapat diteruskan secara konsisten bagi membina ekosistem komuniti yang aktif di Padang Rengas, dengan penglibatan pelbagai pihak termasuk pertubuhan belia, komuniti, agensi dan pemain tempatan,” ujar kenyataan itu.
Seluruh masyarakat Padang Rengas, Kuala Kangsar dan kawasan sekitarnya dijemput hadir bersama keluarga bagi memeriahkan Hoora Hooray Merdeka 2026.