Skip to main content

Malaysia

Hospital MARA bersifat inklusif, buka pintu rawatan untuk semua kaum – Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR, 3 Mei -- Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyampaikan ucapan pada Majlis Sambutan 60 Tahun MARA di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Asyraf Wajdi (foto) menegaskan naratif sempit berkaitan perkauman langsung tidak wajar dijadikan pertikaian memandangkan etika profesion perubatan itu sendiri menuntut perkhidmatan rawatan diberikan secara saksama kepada sesiapa sahaja yang memerlukan. -Gambar fail/Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Perancangan pembinaan hospital di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) tidak bersifat eksklusif kepada kelompok Bumiputera semata-mata, sebaliknya fasiliti perubatan berkenaan bakal memanfaatkan segenap lapisan masyarakat, tanpa mengira latar belakang kaum.

Pengerusinya, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan naratif sempit berkaitan perkauman langsung tidak wajar dijadikan pertikaian memandangkan etika profesion perubatan itu sendiri menuntut perkhidmatan rawatan diberikan secara saksama kepada sesiapa sahaja yang memerlukan.

Beliau berkata penubuhan hospital tersebut berpaksikan kepada tanggungjawab kemanusiaan dan profesionalisme kesihatan, bukannya diskriminasi pesakit.

“Ini tiada kena-mengena dengan soal kaum. Hospital ini untuk semua. Kita tidak akan memilih pesakit.

"Secara profesional, doktor tidak boleh memilih sama ada untuk merawat Bumiputera atau bukan Bumiputera. Itu bukan niat kita,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika ditemui pada sidang media khas menjelang Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini.

Inisiatif penubuhan hospital berkenaan sebelum ini mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan orang ramai yang khuatir sekiranya akses rawatan dihadkan berdasarkan sentimen kepartian atau kaum tertentu.

Bagaimanapun, Asyraf Wajdi memperjelaskan bahawa langkah strategik itu sebenarnya dirangka berasaskan keperluan mengukuhkan ekosistem pendidikan sains kesihatan milik MARA yang kini kian berkembang luas.

Hospital terbabit bakal bertindak sebagai pelengkap kepada latihan praktikal bagi penuntut tajaan agensi itu merangkumi pelbagai disiplin kritikal termasuk bidang perubatan, farmasi, kejururawatan, fisioterapi, sains pengimejan perubatan serta perkhidmatan psikologi klinikal.

Pada 24 Ogos lalu, MARA secara rasmi memulakan langkah ke arah merealisasikan penubuhan hospital pengajar pertamanya menerusi pembentukan sebuah pasukan khas bagi memperincikan pelan strategik agensi itu.

Asyraf Wajdi  dilaporkan berkata inisiatif berkenaan dilihat tepat pada masanya memandangkan MARA sudah berdekad melahirkan ribuan pakar perubatan, jururawat serta ahli farmasi melalui institusi pengajian tingginya seperti Universiti Kuala Lumpur Royal College of Medicine Perak (UniKL RCMP).

Justeru, penubuhan fasiliti hospital sendiri bukan sahaja bakal menyediakan platform penempatan klinikal dan latihan praktikal buat penuntutnya, malah bertindak sebagai 'makmal hidup' (living laboratory) bagi memperkasa penyelidikan serta inovasi teknologi kesihatan negara.

Beliau menegaskan langkah itu melengkapkan ekosistem menyeluruh agensi berkenaan yang merangkumi gabungan kepakaran sains perubatan, kejuruteraan bioperubatan dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kesihatan di bawah satu bumbung.

Must Watch Video

Advertisement