[TERKINI] Perang Israel-Iran Bakal Tamat? | Trump Umum Gencatan Senjata Penuh. Klik di sini untuk laporan penuh dan reaksi global.
NATIONAL

Hospital Medan Malaysia di Myanmar jadi tumpuan

Bernama 21/04/2025 | 23:40 MYT
Hospital Medan Malaysia turut menyediakan perkhidmatan klinik pesakit luar dan dijangka menerima 80 hingga 100 pesakit luar dalam kalangan penduduk sekitar. - Foto ATM
KUALA LUMPUR: Hospital Medan Malaysia (HMM) kendalian Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mula beroperasi semalam di daerah Sagaing, Myanmar menjadi tumpuan ramai dengan aliran pesakit tanpa henti dari kawasan sekitar.
Markas ATM dalam kenyataan memaklumkan, menerusi Operasi Bantuan Kemanusiaan (Operasi Starlight III), hospital medan tahap dua itu dilengkapi 20 katil dan wad, bilik pembedahan, unit rawatan rapi, radiologi, makmal serta menawarkan dua kepakaran iaitu pembedahan am dan ortopedik.
Menurut kenyataan itu pada hari pertama pengoperasian, Tim Operasi Starlight III telah berjaya melaksanakan pembedahan pertama pada 10.30 pagi waktu tempatan (12 tengah hari waktu Malaysia).
"HMM berkeupayaan melaksanakan pelbagai bentuk rawatan kritikal, termasuk prosedur pembedahan dan penjagaan pesakit secara menyeluruh termasuklah melakukan dua pembedahan secara serentak," menurut kenyataan Markas ATM semalam.
Selain itu, HMM turut menyediakan perkhidmatan klinik pesakit luar dan dijangka menerima 80 hingga 100 pesakit luar dalam kalangan penduduk sekitar.
Ketua Menteri Wilayah Sagaing, Myint Naing dan Panglima Biro Operasi Khas Wilayah Yangon, Leftenan Jeneral Thet Pon turut hadir semasa pembukaan operasi HMM.
Pada 18 April lepas, Malaysia menghantar pasukan perubatan ATM ke Myanmar bagi melaksanakan Operasi Starlight III susulan gempa bumi kuat yang melanda negara itu pada 28 Mac lepas.
-- BERNAMA
#Hospital Medan Malaysia #Angkatan Tentera Malaysia #gempa bumi Myanmar #bantuan kemanusiaan