TANJONG KARANG: Hospital Tanjong Karang yang baharu beroperasi sejak Oktober tahun lepas bakal mempunyai 10 jenis khidmat kepakaran bagi memberi rawatan kepada para pesakit, yang akan diperkenalkan secara berfasa, kata Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata ia terdiri daripada pembedahan, kecemasan, perubatan umum, obstetrik dan ginekologi, pediatrik, ortopedik, anestesiologi, radiologi, patologi serta bedah mulut dan maksilofasial.

Katanya sejak Hospital Tanjong Karang yang kini berstatus hospital pakar minor mula beroperasi, RM1.5 juta kos penghantaran pesakit dari Hospital Tanjong Karang ke hospital pakar lain dapat dijimatkan, melibatkan anggaran 3,000 kes rujukan pesakit.

"Dengan status baharu sebagai hospital pakar minor, diharap ia dapat mengurangkan jumlah kes yang dirujuk ke Hospital Sungai Buloh," katanya kepada media selepas Majlis Perasmian Hospital Tanjong Karang yang dirasmikan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini.

Mengulas berhubung kekurangan doktor gigi dalam perkhidmatan kesihatan, Dr Zaliha berkata kementeriannya akan terus meningkatkan usaha menempatkan lebih ramai penempatan bagi doktor gigi di fasiliti kesihatan kerajaan bagi mengatasi isu kesesakan kehadiran pesakit.

"Khususnya untuk (penempatan) doktor gigi, sebenarnya kita ada penambahan contohnya pada 2021, kita ada 154 orang doktor. Pada 2022 kita tambah seramai 477 doktor gigi, ia hampir tiga kali ganda (peningkatan)," katanya.

Dr Zaliha berkata pihaknya menggunakan pelbagai pendekatan bagi mengatasi masalah kesesakan antaranya menerima pesakit secara walk-in (pandu lalu) ke klinik pergigian, dan bakal memperkenalkan klinik pergigian komuniti yang diperhalusi secara menyeluruh.

Ditanya mengenai titah Sultan Selangor mengenai waktu menunggu yang terlalu lama di bahagian kecemasan hospital seluruh negeri itu, Dr Zaliha berkata Kementerian Kesihatan telah merangka beberapa langkah untuk mengatasi masalah berkenaan.

Katanya ia termasuk melakukan audit kepada pihak berkaitan termasuk pengarah hospital bagi mengenal pasti masalah yang dihadapi, selain turut bercadang mewujudkan lodging wad yang berfungsi menempatkan pesakit sementara untuk menunggu proses keluar hospital (discaj).

-- BERNAMA