[LAPOR LANGSUNG] Sumud Flotilla ke Gaza – Perjalanan kini Semakin Hampir. Ikuti perkembangan di sini
MALAYSIA

Hospital wakaf, patuh syariah selari dengan konsep Ekonomi MADANI

Firdaus Azil 30/09/2025 | 09:50 MYT
Fadillah (lima, kiri) di Majlis Pecah Tanah Pembangunan Hospital Pakar Semenyih (SSH) Patuh Syariah dan Bercirikan Wakaf di sini, pada Selasa.
HULU LANGAT: Penubuhan hospital pakar berkonsep patuh syariah dan berasaskan wakaf dilihat sebagai langkah strategik dalam menggerakkan instrumen wakaf ke dalam sektor kesihatan negara.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ia selari dengan aspirasi Ekonomi MADANI, dengan kerajaan terus konsisten menjadikan wakaf sebagai sektor ketiga ekonomi negara, dengan sasaran sumbangan 10 peratus kepada sektor kewangan sosial Islam menjelang 2030.

Selain itu beliau berkata, pembinaan hospital dengan konsep itu memberi manfaat besar kepada masyarakat dengan menyediakan perkhidmatan berkualiti, di samping menjana hasil yang mampan untuk institusi wakaf negeri.

“Pembangunan Hospital Pakar Semenyih ini bukan sahaja menggambarkan keprihatinan terhadap aspek kesihatan fizikal, tetapi juga manifestasi ibadah umum - iaitu segala usaha dan kerja baik yang dilakukan dengan niat kerana Allah S.W.T. demi kesejahteraan ummah.

"Dalam konteks ini, wakaf bukan sekadar instrumen ekonomi, tetapi juga amalan ibadah yang menghubungkan manusia dengan Penciptanya. Ia mencerminkan semangat ihsan dan tanggungjawab sosial, di mana harta yang diwakafkan terus memberi manfaat berpanjangan kepada masyarakat, walaupun setelah pewakafnya tiada.

“Inilah keindahan ajaran Islam - yang melihat pembangunan fizikal seperti hospital ini sebagai sebahagian daripada ibadah berterusan,” katanya lagi.

Timbalan Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah Pembangunan Hospital Pakar Semenyih (SSH) Patuh Syariah dan Bercirikan Wakaf di sini, pada Selasa.

Fadillah di Majlis Pecah Tanah Pembangunan Hospital Pakar Semenyih (SSH) Patuh Syariah dan Bercirikan Wakaf di sini, pada Selasa.


Hospital yang dibina oleh Highfield Healthcare Sdn Bhd itu akan dibangunkan di atas tanah seluas 2.6 ekar, dengan keluasan binaan 783,566 kaki persegi termasuk kemudahan parkir.

Ia bakal menyediakan 261 katil dengan pelbagai kepakaran perubatan ‘Multidisciplinary Specialist’, dikendalikan oleh operator hospital berpengalaman An-Nur Healthcare Sdn Bhd dan dijangka siap pada tahun 2028.

Dalam pada itu Fadilah, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, beliau berharap agar pihak pemaju akan turut mengambil inisiatif menerapkan elemen-elemen teknologi hijau dalam pembangunan Hospital Pakar Semenyih.

Katanya lagi, ia bagi memastikan pembangunan Baharu selaras dengan Pelan Hala tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR); ke arah mencapai sasaran “Net-Zero Greenhouse Gas (GHG) Emmisions” menjelang tahun 2050.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Highfield Healthcare, Haizar Razif Hisyam Ajaz Nabijan berkata Hospital Pakar Semenyih bukan sahaja akan menyediakan rawatan perubatan berkualiti, malah turut membuka ruang kepada pendidikan, penyelidikan, peluang pekerjaan dan sumbangan sosial.

Beliau berkata, HSS adalah sebuah hospital yang dibina oleh komuniti, untuk komuniti – dengan nilai yang melangkaui rawatan kesihatan semata-mata, bahkan mejadi suatu ibadah untuk pelaburan hakiki untuk kehidupan akhirat.

“Pembangunan Hospital Pakar Semenyih ini, yang merupakan flagship hospital buat Highfield Healthcare Sdn Bhd akan dijangka siap sepenuhnya dan beroperasi pada tahun 2028.

“Hospital ini bukan sekadar sebuah pusat rawatan, tetapi lambang aspirasi kami bersama untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan bertaraf dunia yang berlandaskan patuh syariah serta konsep mulia Wakaf.

“Melalui pendekatan ini, usaha kita bukan sahaja memberi manfaat kepada individu, malah kepada masyarakat secara menyeluruh, sekali gus meninggalkan legasi yang berkekalan untuk generasi akan datang,” katanya lagi.

Beliau berkata, hospital itu turut disokong dengan asas kewangan yang kukuh, perkongsian strategik serta pasukan perunding dan kontraktor berpengalaman yang telah berjaya melaksanakan pelbagai projek kesihatan ternama negara.

Lebih daripada itu, tambahnya lagi, nadi utama projek tersebut adalah aspirasi Wakaf – pelan hala tuju 20 tahun untuk memperluas akses kesihatan melalui model mampan yang membangunkan masyarakat, merapatkan jurang sosial, dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi.




#Fadillah Yusof #hospital patuh syariah #wakaf #Hospital Pakar Semenyih