KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan sebuah hotel di Jalan Conlay di sini, menerima panggilan ancaman bom pada Sabtu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, sebuah unit pemusnah bom dan unit Anjing Pengesan (K9) Bukit Aman telah digerakkan ke lokasi sejurus menerima maklumat tersebut.

“Tindakan ‘flushing’ (pembersihan keselamatan) bom telah dijalankan secara rapi di lobi, dewan, juga di tiga kawasan tempat letak kereta, seluruh 13 tingkat premis berkenaan dan di kawasan luar hotel.

“Namun, tiada sebarang ancaman yang dikesan dalam kes ini,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Daerah Brickfields di sini pada Ahad.

Beliau berkata, pengawal keselamatan hotel berkenaan mendakwa telah menerima panggilan daripada seorang lelaki yang bercakap dalam bahasa Inggeris pada jam 8.07 malam.

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan. Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi, andaian atau pendapat yang boleh menimbulkan kekeliruan, kegusaran dan ketenteraman awam.

“Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes ini boleh menyalurkan terus ke Bilik Gerakan Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584 / 0585 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian