MALAYSIA

Hotel digesa patuhi amalan terbaik industri bagi melindungi imej Malaysia

Bernama 17/01/2026 | 10:00 MYT
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing berucap pada majlis perasmian Hotel Iconic Marjorie hari ini. - Foto BERNAMA
GEORGE TOWN: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menggesa semua hotel di Malaysia, khususnya hotel dalam kategori empat dan lima bintang supaya secara konsisten mematuhi amalan terbaik industri bagi melindungi reputasi negara sebagai destinasi pelancongan terkemuka.


Ringkasan AI
  • MOTAC menggesa hotel di Malaysia, terutamanya kategori empat dan lima bintang, patuhi amalan terbaik untuk memelihara reputasi negara sebagai destinasi pelancongan terkemuka.
  • Menteri Tiong King Sing menekankan hotel perlu tingkatkan budaya perkhidmatan, akauntabiliti pengurusan, dan piawaian operasi bagi memenuhi jangkaan pengembara masa kini.
  • Kementerian menuntut pengurusan hotel tangani aduan tetamu dengan cekap, pantau prosedur operasi standard, serta jamin keselamatan, keselesaan, dan konsistensi perkhidmatan bagi memelihara imej negara sebagai destinasi pelancongan.


Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing berkata hotel perlu melangkaui kemudahan dan penarafan bintang dengan memperkukuh budaya perkhidmatan, akauntabiliti pengurusan serta piawaian operasi bagi memenuhi jangkaan pengembara masa kini yang semakin meningkat.

"Hospitaliti hari ini tidak lagi ditakrifkan semata-mata oleh infrastruktur atau pengelasan bintang, sebaliknya oleh kualiti perkhidmatan, kepekaan dan profesionalisme, pengalaman tetamu memainkan peranan kritikal dalam membentuk tanggapan awal pelawat terhadap Malaysia," katanya pada pelancaran rasmi Iconic Majorie Hotel di sini hari ini.

Majlis itu disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Tun Ramli Ngah Talib dan turut dihadiri isterinya Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah, Ketua Menteri Chow Kon Yeow serta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) Steven Sim.

Tiong turut menzahirkan kebimbangan terhadap aduan yang diterima berkaitan kekurangan perkhidmatan di beberapa hotel bertaraf tinggi, khususnya kes tetamu gagal memperoleh penjelasan atau bantuan sewajarnya daripada pengurusan kanan.

"Kementerian tidak boleh menerima alasan seperti pengurus besar tidak berada di tempat apabila tetamu mengemukakan kebimbangan yang sah. Pengurusan hotel mesti memikul tanggungjawab sepenuhnya dalam menangani aduan bagi memastikan pelawat pulang dengan tanggapan positif terhadap negara kita," katanya.

Tiong berkata hotel perlu melaksanakan dan menyemak secara berkala prosedur operasi standard, termasuk pengurusan vendor, perancangan penyelenggaraan, kitaran pengubahsuaian serta penaiktarafan berterusan bilik tetamu dan kawasan awam bagi memastikan keselamatan, keselesaan dan konsistensi perkhidmatan.

Beliau berkata amalan itu penting bukan sahaja untuk hartanah individu, malah bagi memelihara imej keseluruhan serta daya saing Pulau Pinang dan Malaysia sebagai destinasi pelancongan.

Ketika Malaysia bersiap sedia menghadapi Tahun Melawat Malaysia 2026, beliau berkata destinasi seperti Pulau Pinang memainkan peranan penting sebagai pintu masuk utama ke negara ini, yang diiktiraf secara meluas dengan warisan kulinari, jalan-jalan bersejarah, kepelbagaian budaya dan aset warisan yang diurus dengan baik.

"Perjalanan pelawat yang lancar daripada ketibaan dan mobiliti hingga penunjuk arah, kemudahan digital serta perkhidmatan yang cekap adalah penting dalam meningkatkan pengalaman pelancongan dan integrasi yang lebih rapat antara hotel, perniagaan tempatan, ruang budaya serta komuniti sekitar perlu diperkukuh," katanya.

Sementara itu, Tiong berkata pembukaan Iconic Majorie Hotel mencerminkan pertumbuhan berterusan Pulau Pinang sebagai destinasi yang mengimbangi warisan, kreativiti dan kejayaan komersial, di samping memperluas kapasiti negara untuk menganjurkan konvensyen berskala besar dan menarik pasaran antarabangsa.

"Saya berharap hotel ini akan menetapkan penanda aras positif bagi kecemerlangan perkhidmatan dalam sektor hospitaliti dan menyumbang secara bermakna kepada kemajuan industri pelancongan Malaysia," katanya.

-- BERNAMA


#Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya #MOTAC #hotel di Malaysia #Tiong King Sing