KUALA LUMPUR: Hotel Istana Kuala Lumpur umum akan menamatkan operasi pada September ini.

Berdasarkan sepucuk surat bertarikh 30 Jun 2021 yang ditandatangani pengurus besar hotel Noorazzudin Omar, pihak pengurusan tiada pilihan selain menutup operasi hotel bertaraf lima bintang yang berusia 29 tahun itu.

Kenyataan itu turut menyebut bahawa pihak pengurusan Hotel Istana akan menawarkan menawarkan skim pemisahan sukarela (VSS) kepada para pekerja.

“Kami sudah capai keputusan selepas mempertimbangkan keadaan semasa dan semua pilihan yang ada.

“Dengan rasa dukacita kami ingin memaklumkan keputusan untuk menutup operasi kami dijangka pada 1 September 2021.”

Surat yang ditandatangani oleh Noorazzudin Omar bertarikh 30 Jun

Selain itu, beliau menambah hotel itu masih tidak mampu menanggung kerugian operasi bulanan walaupun 
digunakan sebagai pusat kuarantin bagi pengurusan wabak COVID-19.

Keadaan tersebut, katanya, telah memberi kesan kepada perniagaan, keuntungan dan bilangan pelanggan yang menghuni hotel tersebut. 

“Di sini juga, kami inginkan memaklumkan, pihak hotel akan menawarkan kepada pekerja-pekerja skim VSS.

“Pihak sumber manusia akan menghubungi anda dalam masa terdekat,” katanya.

Hotel 23 tingkat dan 486 bilik yang siap dibina pada 1992 itu dimiliki Tradewinds Corp Berhad.

Astro AWANI difahamkan bahawa notis rasmi daripada pengurusan Hotel Istana kepada pekerja masih belum dikeluarkan setakat ini.