MELAKA: Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) mengingatkan pengusaha hotel atau premis makanan yang tidak memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia, agar tidak membuat pengiklanan bufet Ramadan menggunakan perkataan yang mengelirukan umat Islam.

Pengarah JAIM, Datuk Che Sukri Che Mat berkata, antara perkataan atau frasa yang dilarang digunakan dalam medium pengiklanan mereka ialah bufet Ramadan, iftar Ramadan, jom iftar, cita rasa Ramadan, jom berbuka, set Ramadan, ditanggung halal dan dijamin halal.

Beliau berkata, frasa berkenaan dilarang digunakan dalam iklan bufet Ramadan seperti pada risalah, poster, kain rentang papan iklan, media masa atau media sosial.

"Memang bukan satu kewajipan untuk hotel atau premis makanan mendapatkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia, tetapi tidak boleh menggunakan frasa yang telah ditetapkan dalam iklan bufet Ramadan mereka kerana ia disifatkan sebagai tindakan memperdayakan pengguna.

"Justeru, JAIM akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), untuk menjalankan pemeriksaan ke atas hotel dan premis makanan di sekitar negeri itu bagi memastikan perkara berkenaan tidak berlaku," katanya kepada pemberita selepas Operasi 'Plastik Hitam Bersendawa' di sekitar daerah Melaka Tengah di sini, hari ini.

Setakat ini, katanya, hanya 14 hotel di Melaka mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia, dan dibenarkan menggunakan frasa tersebut dalam pengiklanan bufet Ramadan mereka.

Menurutnya hotel atau premis makanan yang tidak mempunyai sijil pengesahan tersebut, boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011, Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) di bawah undang-undang yang dikuatkuasakan KPDNHEP. - BERNAMA