MALAYSIA
HPPNK 2025 catat jualan RM7.6 juta, 300,000 pengunjung sehingga semalam

Anwar (tengah) menyempurnakan gimik perasmian penutupan HPPNK 2025 di SICC hari ini. - Gambar Bernama
KOTA KINABALU: Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025 telah mencatatkan nilai jualan RM7.6 juta dan menerima lebih 300,000 pengunjung setakat hari kedua program berlangsung semalam.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata pihaknya yakin akan dapat mencapai sasaran bilangan pengunjung seramai 500,000, dengan nilai jualan sebanyak RM15 juta apabila program berakhir malam ini.
"Sehingga tengah hari ini saya lihat sambutan sangat menggalakkan dan ramai orang datang...oleh itu tidak mustahil sasaran yang ditetapkan dapat dicapai, kerana selalunya pada penghujung program banyak harga barangan yang akan diturunkam dan sudah semestinya ia akan meningkatkan jualan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian penutupan HPPNK 2025 yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, di sini hari ini.Mohamad berkata sambutan kali ini turut merekodkan sejumlah 14 dokumen persefahaman dan perjanjian strategik, termasuk Memorandum Persefahaman dan Memorandum Perjanjian, telah berjaya dimeterai dengan nilai keseluruhan RM526 juta.
Beliau berkata kementeriannya mengetengahkan komoditi utama yang menyumbang kepada nilai eksport antaranya durian, nanas dan kelapa segar.
"Di samping itu, buah avocado dan tanaman bawang hasil daripada negeri Sabah juga dilihat amat berpotensi untuk dikembangkan pada masa akan datang.
"Tanaman buah avocado ini telah mula dilaksana di Tawau dan ia sangat berpotensi, manakala tanaman bawang telah dilaksanakan di Ranau dan ia sangat subur. Pada masa akan datang saya percaya kedua tanaman ini boleh dieksport," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami