MALAYSIA

HPUSM tawar pembelajaran teknologi robotik bagi pembedahan lutut

Bernama 02/02/2026 | 13:45 MYT
Abdul Rahman berkata HPUSM turut menawarkan perkhidmatan pembedahan Robotik Total Knee Replacement menggunakan ROSA Knee System yang berfungsi sebagai pembantu pembedahan. - Gambar Sinar Harian
KOTA BHARU: Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) kini menawarkan pembelajaran teknologi robotik bagi pembedahan lutut sebagai usaha memperkasakan bidang perubatan selari dengan perkembangan teknologi semasa.


Ringkasan AI
  • Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) memperkenalkan pembelajaran teknologi robotik untuk pembedahan lutut sebagai sebahagian daripada program Sarjana Perubatan (Ortopedik) bagi pelajar pascasiswazah.
  • HPUSM menjadi pusat latihan utama dalam penghasilan pakar ortopedik di Malaysia dan menawarkan Program Fellowship Arthroplasty bagi latihan lanjutan dalam pembedahan penggantian sendi.
  • Perkhidmatan pembedahan Robotik Total Knee Replacement menggunakan ROSA Knee System telah diperkenalkan di HPUSM, memberi akses kepada masyarakat di Pantai Timur kepada rawatan pembedahan lutut berteknologi tinggi untuk pemulihan fungsi lutut yang lebih baik.


Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Datuk Seri Dr Abdul Rahman Mohamed berkata pelaksanaan teknologi robotik itu sebahagian daripada komponen program Sarjana Perubatan (Ortopedik).

Beliau berkata menerusi pembelajaran itu, pelajar pascasiswazah didedahkan kepada amalan pembedahan berketepatan tinggi, perancangan prapembedahan berasaskan data dan penilaian intraoperatif secara objektif.

"HPUSM juga antara pusat latihan utama dalam penghasilan pakar ortopedik di Malaysia selain menawarkan Program Fellowship Arthroplasty bagi latihan lanjutan dalam pembedahan penggantian sendi," katanya.

Abdul Rahman berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Peluncuran Perkhidmatan Pembedahan Robotik Total Knee Replacement di Dewan Utama Kampus Kesihatan USM, Kubang Kerian, di sini hari ini.

Beliau berkata pembelajaran itu dikendalikan oleh tiga tenaga pengajar iaitu Prof Dr Amran Ahmed Shokri, Dr Muhammad Rajaei Ahmad Mohd Zain dan Prof Madya Dr Shaifuzain Ab Rahman.

"Setakat ini, sebanyak kira-kira 80 pelajar pascasiswazah mengikuti program itu selaras dengan komitmen HPUSM sebagai hospital akademik untuk melahirkan lebih ramai pakar, khususnya dalam bidang pembedahan robotik," katanya.

Dalam perkembangan sama, Abdul Rahman berkata HPUSM turut menawarkan perkhidmatan pembedahan Robotik Total Knee Replacement menggunakan ROSA Knee System yang berfungsi sebagai pembantu pembedahan.

Beliau berkata prosedur pertama berjaya dilaksanakan pada 23 Sept tahun lepas dan setakat ini, 13 pesakit telah menjalani pembedahan menggunakan sistem itu dengan hasil klinikal awal menunjukkan perkembangan memberangsangkan.

"Pengenalan perkhidmatan ini membolehkan masyarakat di Pantai Timur mendapat akses kepada rawatan pembedahan lutut berteknologi tinggi sekali gus menyokong peningkatan kualiti hidup pesakit melalui pemulihan fungsi lutut lebih baik," katanya.

-- BERNAMA



#HPUSM #teknologi robotik #ortopedik #pusat latihan utama