[INFO BANJIR] Dapatkan info terkini cuaca dan banjir seluruh negara
MALAYSIA

HRD Awards 2025 raikan wira pembangunan modal insan

Malekah Aisyah 27/11/2025 | 12:00 MYT
Azman dan Syed Alwi bersama pemenang HRD Awards 2025. - Foto HRD Corp
KUALA LUMPUR: Majlis Malam Gala HRD Awards 2025 anjuran Human Resource Development Corporation (HRD Corp) dengan sokongan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) berlangsung penuh inspirasi di MITEC, menghimpunkan majikan berwawasan, penyedia latihan inovatif dan jurulatih terbaik negara yang juga merupakan tulang belakang pembangunan modal insan negara.


Ringkasan AI
  • Majlis Malam Gala HRD Awards 2025 anjuran Human Resource Development Corporation (HRD Corp) dengan sokongan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) berlangsung penuh inspirasi di MITEC, menghimpunkan majikan berwawasan, penyedia latihan inovatif dan jurulatih terbaik negara yang juga merupakan tulang belakang pembangunan modal insan negara.
  • Ketua Eksekutif HRD Corp, Syed Alwi Mohamed Sultan berkata, sejak diperkenalkan pada 2001, HRD Awards telah berkembang menjadi platform pengiktirafan paling berprestij dalam ekosistem pembangunan sumber manusia.
  • HRD Awards 2025 mencatat sejarah baharu selepas menerima 770 penyertaan, jumlah tertinggi sejak ia dianjurkan dan angka itu menunjukkan peningkatan sebanyak 277 penyertaan berbanding 493 tahun lalu, menetapkan penanda aras baharu terhadap keterlibatan pemain industri.


Bertemakan “An Evening of Elegance”, acara itu diraikan bagi menghargai peneraju pembangunan tenaga kerja masa hadapan negara.

Ketua Eksekutif HRD Corp, Syed Alwi Mohamed Sultan berkata, sejak diperkenalkan pada 2001, HRD Awards telah berkembang menjadi platform pengiktirafan paling berprestij dalam ekosistem pembangunan sumber manusia.

“HRD Awards ini adalah satu pengiktirafan yang tertinggi dalam bidang pembangunan sumber manusia di Malaysia, penganjuran pada tahun ini adalah edisi yang ke-23.

“Ini menunjukkan bahawa HRD Corp sangat konsisten dalam menganjurkan acara ini dan menyediakan satu platform untuk memastikan pemain industri pembangunan modal insan diangkat dan diiktiraf,” katanya ketika ditemui di majlis, di sini.

Menurut Syed Alwi, komitmen HRD Corp jelas dalam mengangkat organisasi dan individu yang memainkan peranan penting dalam memperkasa bakat negara, selaras dengan aspirasi membina tenaga kerja berkemahiran dan berdaya saing.

HRD Awards 2025 mencatat sejarah baharu selepas menerima 770 penyertaan, jumlah tertinggi sejak ia dianjurkan dan angka itu menunjukkan peningkatan sebanyak 277 penyertaan berbanding 493 tahun lalu, menetapkan penanda aras baharu terhadap keterlibatan pemain industri.

Syed Alwi ketika menyampaikan ucapan alu-aluan di Majlis Malam Gala HRD Awards 2025. - Foto HRD Corp


Beliau turut menegaskan keyakinan HRD Corp terhadap pembangunan bakat sebagai pemacu utama kemajuan negara.

“Pada tahun ini kami mendapat sambutan yang sangat baik selepas menerima lebih daripada 750 penyertaan.

“Ini menunjukkan betapa anugerah ini dinantikan oleh para pemain dalam industri jadi itulah dia, HRD Awards ini akan diteruskan setiap tahun.

“Di HRD Corp kami percaya bahawa pembangunan bakat adalah pemacu pembangunan negara.

“Platform ini mengiktiraf organisasi dan individu yang memainkan peranan penting dalam menaikkan mutu bakat, kemahiran dan latihan,” jelasnya.

Azman ketika menyampaikan ucaptama di Majlis Malam Gala HRD Awards 2025. - Foto HRD Corp


Majlis yang disempurnakan oleh Ketua Setiausaha KESUMA, Datuk Azman Mohd Yusof, turut menyaksikan penyampaian 40 anugerah merangkumi tujuh kategori utama seperti yang tertera:
  1. Human Resources Minister Award
  2. Learning and Development Icon Award
  3. ASEAN Year of Skills Special Recognition Award
  4. Human Resource Development Corporation Award
  5. Regional Excellence Award
  6. Excellence Awards
  7. Learning and Development Team of the Year Award

Para pemenang dipilih melalui proses penilaian pelbagai peringkat yang ketat bagi memastikan ketelusan dan kredibiliti. Panel penilai terdiri daripada pakar industri serta wakil badan utama negara termasuk Malaysian Employers Federation (MEF), SME Corp, TalentCorp, MDEC dan Malaysia Productivity Corporation (MPC).

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) KESUMA, Sutekno Ahmad Belon.
Sejak 2001, HRD Awards bukan sahaja menjadi pengiktirafan tertinggi sektor pembangunan sumber manusia, tetapi turut mempamerkan landskap pembelajaran serta pembangunan negara yang semakin mampan.

Edisi tahun ini mengukuhkan lagi komitmen Malaysia dalam melahirkan bakat bertaraf dunia dan memacu agenda pembangunan modal insan selaras dengan keperluan masa hadapan.

Untuk senarai penuh pemenang dan maklumat lanjut, layari hrdcorp.gov.my/hrd-awards-2025 .


#HRD Corp #KESUMA #penyedia latihan #MITEC