KUALA LUMPUR: Human Resource Development Corporation (HRD Corp) telah menggantung tugas tiga lagi anggota pengurusannya sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengukuhkan disiplin institusi dan memelihara keyakinan industri.
Ketua Eksekutif HRD Corp Datuk Shamir Aziz dalam satu kenyataan hari ini berkata langkah itu menunjukkan komitmen organisasi tersebut untuk meningkatkan piawaian tadbir urus dan memastikan sumber pembangunan tenaga kerja negara ditadbir dengan telus, cekap dan berakauntabiliti.
Advertisement
"Tadbir urus yang kukuh adalah asas kepada keyakinan perniagaan. Majikan mengharapkan pengelolaan yang telus, konsisten dan berdisiplin. Kami sedang memperkukuh sistem kami bagi memastikan HRD Corp sentiasa dapat memenuhi harapan tersebut," katanya.
Shamir menegaskan penggantungan tugas itu adalah langkah prosedur yang diambil untuk memelihara kebebasan penilaian dalaman yang sedang dijalankan dan bukan mencerminkan tindakan terhadap salah laku.
Beliau berkata penilaian dalaman itu telah mengenal pasti bidang yang memerlukan kawalan dalaman yang lebih ketat, struktur pelaporan jelas dan pengawasan pematuhan yang dipertingkatkan.
"Penambahbaikan sedang dilaksanakan untuk memodenkan rangka kerja tadbir urus, memperkukuh mekanisme akauntabiliti dan memperkemas proses pentadbiran bagi menyediakan perkhidmatan yang lebih baik kepada majikan dan penyedia latihan," katanya.
"Penyelarasan semula ini adalah untuk memastikan sistem berfungsi dengan berkesan dan bertanggungjawab. Itulah intipati MADANI Bekerja - tadbir urus yang berkesan, penyampaian kukuh institusi dan hasil yang mengukuhkan ekonomi," katanya.
HRD Corp berkata pembaharuan tadbir urus berkait rapat secara langsung dengan daya saing ekonomi Malaysia sambil menambah institusi yang berdisiplin menyumbang kepada perancangan bakat yang lebih mampan, produktiviti tinggi dan pertumbuhan perniagaan yang mampan.
Menurut kenyataan itu kesinambungan perkhidmatan kekal tidak terjejas dan proses sewajarnya akan dipatuhi sepanjang penilaian semula itu.
Organisasi itu juga berkata pengukuhan integriti institusi kekal penting untuk mengekalkan kepercayaan industri dan menyelaraskan inisiatif pembangunan tenaga kerja dengan keutamaan pertumbuhan negara.
-- BERNAMA