MALAYSIA

HSEF 2025: Usahawan sosial Malaysia perkukuh strategi dan impak

Nabilah Khaleeda 21/10/2025 | 03:30 MYT
HSEF merupakan inisiatif Yayasan Hasanah bersama Kementerian Kewangan untuk memperkukuh ekosistem perusahaan sosial di Malaysia melalui geran dan kerjasama strategik.
KUALA LUMPUR: Usahawan sosial dari seluruh negara kini tampil dengan model perniagaan yang lebih kukuh dan strategi impak yang lebih jelas hasil penyertaan dalam Creative Sprint Hasanah Social Enterprise Fund (HSEF) 2025 Bootcamp, anjuran Satu Creative dan Yayasan Hasanah.

Program intensif selama tiga hari diadakan dalam dua siri, 7 hingga 9 Oktober di Shah Alam dan 14 hingga 16 Oktober di George Town, memperlihatkan bagaimana 60 peserta berjaya memperhalusi pendekatan mereka dalam bidang pendidikan, pembangunan komuniti, alam sekitar serta seni & ruang awam.

Melalui sesi perkongsian ilmu, bimbingan dan dialog berpengalaman, mereka bukan sahaja membina semula strategi kelestarian tetapi juga memperkukuh kesediaan untuk menjalin kerjasama dan menarik pelaburan.

Ketua Pegawai Eksekutif Satu Creative, Ahmad Azuar Zainuddin berkata, apa yang paling berkesan ialah proses penciptaan bersama dan refleksi yang berlaku sepanjang program.

"Di sinilah perubahan sistem bermula. Satu langkah, satu perbualan jujur, satu prototaip pada satu masa," katanya.

Sesi dialog menampilkan tokoh-tokoh ekosistem seperti Ketua Perusahaan Sosial Yayasan Hasanah, Stanley Siva; Ketua Pegawai Kewangan, Bank Simpanan Nasional (BSN) Norhafizah Md Sharif; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju, Ibrahim Sani dan ramai lagi, berkongsi cabaran serta peluang sebenar dalam jaringan impak nasional.

Program yang menampilkan Pengurus Besar Komunikasi Korporat OCI TerraSus Sdn Bhd, Rizal Zulkapli dan Editor Kanan Astro AWANI, Najib Aroff sebagai moderator memainkan peranan penting dalam menghidupkan perbincangan rentas sektor yang praktikal serta reflektif.

Pengarah Urusan Yayasan Hasanah, Siti Kamariah Ahmad Subki menegaskan, HSEF bukan sekadar pelaburan dalam idea, tetapi dalam individu yang berani mengubah cabaran kepada peluang demi kemajuan bersama.

"Inisiatif ini terus menjadi pemangkin kepada ekosistem perusahaan sosial negara, dengan peserta kini bersedia untuk berkolaborasi bersama pelbagai pihak demi memperluas impak sosial mereka ke seluruh Malaysia," katanya.

HSEF merupakan inisiatif Yayasan Hasanah bersama Kementerian Kewangan untuk memperkukuh ekosistem perusahaan sosial di Malaysia melalui geran dan kerjasama strategik.





#HSEF 2025 #Satu Creative #Yayasan Hasanah #model perniagaan