KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mengkaji model pelaksanaan baharu bagi meneruskan cadangan pembinaan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata ia antaranya melibatkan kajian modal untuk mengetahui jika ada pihak swasta yang berminat untuk menampung kos pembinaan jajaran, pengurusan sistem dan pengoperasian HSR itu.

"Malaysia kini melalui MyHSR Corp sudah beberapa bulan melaksanakan RFI (permintaan maklumat) dan banyak syarikat menunjukkan minat dan sudah menghantar kertas kerja, ada juga yang minta lebih masa untuk memuktamadkan cadangan mereka.

"Perjanjian dua hala dengan Singapura dah (telah) ditamatkan pada zaman Pagoh (Tan Sri Muhyiddin Yassin), pampasan dah diberi, jadi kini kita bebas tentukan hala tuju baharu, sebab itu kita nak cari satu kaedah pembiayaan yang sesuai," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2024 bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.

Loke berkata demikian bagi menjawab celahan Muhyiddin (PN-Pagoh) yang ingin tahu mengenai perancangan masa hadapan kerajaan berkaitan pembinaan HSR yang menghubungkan Malaysia dan Singapura.

Mengulas lanjut, Loke berkata selepas selesai melakukan RFI dan menemui kaedah pembiayaan sesuai, cadangan pembinaan HSR akan dibentang kepada Jemaah Menteri bagi mendapatkan persetujuan sebelum dilanjutkan untuk dibincangkan bersama Singapura.

Beliau berkata biarpun perjanjian awal sudah ditamatkan, perbincangan dengan Singapura tetap perlu dilakukan bagi sebarang perancangan baharu.

"Malah sebarang keputusan masih memerlukan persetujuan negara jiran itu kerana prinsip yang dipersetujui bagi pembinaan HSR ialah ia menghubungkan kedua-dua negara.

"Sebab kalau hanya sampai ke Johor Bahru, ia tidak akan menjadi viable (tidak berguna) kerana tidak hubungkan dua bandar raya utama di ASEAN," katanya.

Beliau berkata sebarang perincian cadangan model pembiayaan HSR perlu diteliti sebaiknya bagi memastikan ia memberi kelebihan kepada Malaysia memandangkan sebahagian besar landasan projek itu terletak di dalam negara.

Sementara itu, mengulas celahan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) berhubung dakwaan tular di media sosial kononnya mana-mana pihak yang melanggar peraturan pemasangan cermin gelap akan dipenjara, Loke berkata perkara itu adalah tidak benar.

"Saya telah sahkan dengan JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) dan bahagian darat, bahawa selama ini tidak pernah ada satu kes pun berkaitan kesalahan cermin gelap dibawa ke mahkamah, apa lagi dipenjara.

"Sebenarnya itu peraturan asas, mana-mana pihak tidak patuh undang-undang, apabila diberi kompaun dan tidak bayar, boleh dibawa ke mahkamah, boleh kena denda tidak lebih RM2,000 atau penjara enam bulan," katanya.

Mengenai cadangan Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) berhubung pengggunaan dan pemasangan kamera weight in motion di jalan raya bagi memantau pemandu lori yang membawa lebih muatan, Loke berkata kementerian sedang dalam proses tender bagi menggunakan teknologi itu.

-- BERNAMA