KUANTAN: Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini bakal menjadi hospital pengajar bagi Program Latihan Kepakaran Perkhidmatan Perubatan Sukan bagi pelajar sarjana perubatan Kementerian Kesihatan (KKM).

Pengarah Kesihatan Pahang Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata ia dijangka dapat direalisasikan pada 2024 selepas mendapat pengiktirafan Universiti Malaya (UM) yang merupakan pusat tunggal menawarkan program sarjana dalam bidang itu setakat ini.

"Buat masa ini, kita sedang menyediakan kertas kerja berkaitan untuk dihantar ke UM dan dijangka disusuli lawatan pihak berkenaan ke HTAA pada hujung tahun ini sebelum dapat diketahui sama ada kita memperoleh pengiktirafan itu atau sebaliknya.

"Selepas itu, baru kita boleh mula menerima pelajar atau pelatih untuk menjalani latihan di sini kerana kita juga telah ada beberapa pakar dan fasiliti bersesuaian," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan 1st National Clinical Exercise Testing Symposium (NACETS) 2023 An Introduction To Cardiopulmonary Exercise Testing (CPET) di HTAA pada Jumaat.

Dr Nor Azimi berkata setakat ini, empat hospital di bawah KKM iaitu Hospital Kuala Lumpur, Hospital Tuanku Ja'afar di Seremban, Hospital Selayang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang menjadi hospital pengajar bagi program itu.

Beliau berkata kesediaan HTAA menjadi hospital pengajar turut diperkukuh dengan penubuhan Unit Perkhidmatan Perubatan Sukan secara rasmi pada 2021 dan kini memiliki dua pakar dalam bidang itu.

Kehadiran pesakit bagi unit itu juga menunjukkan 90 peratus daripada mereka ialah orang awam manakala bakinya atlet atau individu yang aktif bersukan sekali gus menunjukkan bidang perubatan sukan semakin dikenali masyarakat.

Selain rawatan dan pemulihan, bidang itu turut merangkumi program rehabilitasi sebelum dan selepas pembedahan sukan, program ujian kecergasan fizikal serta preskripsi senaman untuk penghidap penyakit tidak berjangkit seperti obesiti, hipertensi dan diabetes mellitus.

-- BERNAMA