PONTIAN: Dalam usaha membantu para pelajar, terutamanya daripada golongan rentan dalam pembelajaran atas talian di waktu pandemik COVID-19, Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd (Huawei Malaysia) telah menyumbangkan 250 unit tablet Huawei MatePad T10 kepada pelajar di Pontian, Johor.

Tablet tersebut akan disumbangkan kepada lima buah sekolah di Benut iaitu:

1. Sek. Men. Keb. Sri Perhentian
2. Sek. Men. Keb. Parit Betak

3. Sek. Men. Keb. Tan Sri Osman Mohd Sa'at
4. Sek. Keb. Sri Benut
5. Sek. Keb. Seri Al-Ulum

Inisiatif ini adalah sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Huawei Malaysia bagi memudahkan pembelajaran atas talian kepada pelajar, terutamanya daripada golongan kurang bernasib baik, yang mungkin menghadapi masalah untuk mengikuti pengajian.

Penutupan sekolah akibat peningkatan kes positif COVID-19 baru-baru ini telah mewujudkan keperluan mendesak terhadap akses peranti ICT dan Internet untuk membantu pelajar mengikuti sesi pembelajaran mereka, sama ada di sekolah atau di rumah.

Antara yang hadir di majlis serahan tablet tersebut adalah Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia, Michael Yuan dan Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad, yang menerimanya bagi pihak sekolah-sekolah yang terpilih.

Antara tablet yang disumbangkan Huawei Malaysia kepada pelajar. - Foto Huawei Malaysia

Menurut Hasni, krisis kesihatan yang berterusan telah menjejaskan ribuan isi rumah, bukan sahaja di negara in, bahkan di seluruh dunia. Ini sekaligus meningkatkan keperluan untuk membantu golongan rentan di kalangan masyarakat kita.

"Saya amat berbesar hati kerana syarikat-syarikat korporat, tidak kira kecil atau besar dapat membantu golongan rentan dari aspek pendidikan.

"Dalam keadaan yang mencabar sekarang, adalah amat penting untuk melihat pemain industri seperti Huawei membantu mereka yang memerlukan dalam memastikan bahawa anak-anak kita dapat menjalani pembelajaran dari rumah dengan efektif.

"Inisiatif oleh Huawei Malaysia ini adalah salah satu contoh tanggungjawab sosial korporat yang baik. Sejajar dengan kepesatan teknologi, kami menghargai keprihatinan Huawei dalam menyedari akan kepentingan tablet untuk membuka lebih banyak peluang dan memperluas skop pembelajaran pelajar-pelajar.

"Oleh itu, kami berterima kasih kepada Huawei Malaysia kerana menawarkan bantuan ini dan kami akan memastikan tablet ini akan digunakan dengan baik," katanya.

Michael Yuan pula berkata sebagai peneraju industri teknologi, Huawei Malaysia bukan sahaja komited dalam membangunkan teknologi di Malaysia, tetapi juga bagi membantu pembangunan anak muda di negara ini melalui pelbagai inisiatif kemasyarakatan.

Usaha ini akan merealisasikan matlamat melahirkan masyarakat berpendidikan yang progresif dan inklusif, serta merancakkan Ekonomi Digital.

“Semua pelajar, baik di pra-sekolah, sekolah rendah mahupun sekolah menengah di seluruh negara telah terkesan akibat penangguhan pembelajaran secara formal sejak pertengahan Mac, sekaligus memaksa pembelajaran diadakan secara jarak jauh atau tanpa bersemuka.

"Oleh kerana itu, sistem pendidikan kini telah mula beralih kepada integrasi di antara teknologi dan pembelajaran. Justeru, kami di Huawei Malaysia dengan besar hati telah menyumbangkan tablet-tablet ini sebagai antara usaha untuk memastikan pembelajaran dapat dijalankan secara konsisten dan berterusan,” katanya.

“Adalah menjadi tanggungjawab sosial korporat Huawei Malaysia untuk kekal menyokong sebarang usaha pembangunan pelajar-pelajar sekolah dalam memastikan mereka ini dilengkapi dengan segala kemudahan dan teknologi atas talian.

"Berlandaskan kepada kepakaran teknologi Huawei Malaysia, kami telah membuat pelaburan yang besar dalam menyediakan penyelesaian digital yang akan menghubungkan rantaian digital sekaligus memastikan tiada yang ketinggalan,” menurut Michael lagi.

Sepanjang pandemik, Huawei Malaysia telah memainkan peranan yang aktif dalam menyokong komuniti setempat di serata negara, termasuk di dalam bidang pendidikan dan pembelajaran.

Pada Mac tahun ini, Huawei Malaysia bersama dengan Pusat Khidmat Setempat Parlimen Indera Mahkota dan MYNIC, sebuah agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia, telah membantu pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan dengan sumbangan 200 tablet Huawei kepada sekolah-sekolah yang terpilih di Indera Mahkota, Pahang.

Usaha murni ini adalah bagi membantu mereka menjalani proses pembelajaran dalam talian.