NATIONAL
Hubungan baik dengan China beri manfaat kepada rakyat - PM Anwar
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) bersalaman dengan Presiden China Xi Jinping pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) sempena Lawatan Negara Presiden China ke Malaysia di Kompleks Seri Perdana hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Malaysia mengekalkan hubungan perdagangan dan pelaburan yang kukuh dengan Amerika Syarikat, namun dalam masa yang sama memegang prinsip perdagangan bebas dan menggalakkan pelaburan tanpa menjejaskan mana-mana pihak.
Ringkasan AI
- Malaysia kekal menjalin hubungan perdagangan kukuh dengan Amerika Syarikat sambil menegaskan prinsip perdagangan bebas dan keterbukaan, termasuk dalam hubungan erat dengan China.
- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia bersikap pragmatik, menghargai layanan baik China tanpa memutuskan hubungan dengan AS.
- Isu sempadan dengan jiran diselesaikan secara rundingan aman, selaras dengan dasar Malaysia sebagai negara maritim yang mengutamakan keharmonian serantau.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebagai sebuah negara yang bebas dan berdaulat, Malaysia tegas dan terbuka dalam menyatakan pendirian apatah lagi dalam isu hubungan dengan China, di mana manfaatnya akan dinikmati segenap lapisan masyarakat di negara ini.
"Hubungan dengan China itu (ada) untuk kepentingan rakyat, untuk kepentingan ekonomi negara, kepentingan pembangunan dan keutuhan negara seluruhnya.
"Dalam hal ini, kita tidak menerima tekanan setakat ini, jadi kita ambil sikap siapa yang baik (dilayan baik) dan sambutan negara China itu harus saya tegaskan, ia sebuah negara besar, ekonomi dan ketenteraan sangat kuat tetapi kita tidak pernah merasakan satu permasalahan atau tekanan.
"Dari aspek hubungan dan layanan, kita dianggap sebagai satu negara yang setara dengan mereka, perbincangan, penghormatan diberikan dan itu bagi saya sangat bermakna.
"Kita bincang semua perkara, walaupun tentunya dalam hubungan dua negara bersahabat ,ada perkara yang kita persetujui dan ada perkara yang kita kurang senang tapi kita bincang sebagai sahabat," tegasnya.
Tambahnya, pelaksanaan tarif mampu memberi kesan negatif kepada perdagangan bebas, tetapi sebagai sebuah negara perdagangan, adalah penting untuk Malaysia menggunakan kebijaksanaan dan memanfaatkan kekuatan ASEAN untuk meningkatkan perdagangan, pelaburan dan kerjasama.
Kata Anwar lagi, kekuatan ekonomi China boleh memberi manfaat kepada ASEAN dan sebagai jiran, Malaysia mengambil langkah pragmatik iaitu dengan membalas layanan baik yang diberikan oleh China.
"ASEAN ada kekuatan yang besar jadi kita ambil pendekatan begitu (hubungan baik) tetapi tidak juga memutuskan perbincangan dengan kembali kepada asas perdagangan bebas dengan Amerika Syarikat.
"Tetapi kalau dengan China, kita ada konteks lain. Pertama dia jiran. Keduanya, hubungan kita ini tidak menghadapi masalah dan ketiga, kekuatan ekonominya akan beri manfaat negara kita.
"Jadi saya ambil langkah pragmatik iaitu selagi orang berkawan baik dengan kita, kita harus sambut lebih baik daripada itu," katanya.
Menyentuh tentang masalah di sempadan dan perairan, Anwar berkata, sebagai sebuah negara maritim, masalah dengan negara-negara jiran akan sentiasa wujud, namun ia tidak bermakna Malaysia perlu bermusuh, sebaliknya melihat rundingan secara aman mampu membawa kepada penyelesaian.
Beliau berkata demikian ketika muncul dalam program khas Agenda Awani Asia Eksklusif kolaborasi bersama Kumpulan Media China (CMG), pada Rabu.
Ia sempena lawatan dua hari Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia, bermula Selasa.