MALAYSIA

Hubungan dua hala Malaysia-Bahrain berpotensi besar - Agong

Ernalisa Othman 08/11/2025 | 05:24 MYT
Sultan Ibrahim bersama Raja Hamad di Istana Sakhir. - Gambar/ Facebook / Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
KUALA LUMPUR: Hubungan diplomatik dan persahabatan erat antara Malaysia dan Bahrain mempunyai potensi besar untuk diperkukuh melalui pelbagai bidang kerjasama strategik.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah, Bahrain merupakan rakan penting bagi Malaysia dan baginda berharap jalinan ekonomi dua hala dapat dipertingkat seiring dengan pelaksanaan Visi Ekonomi Bahrain 2030.

“Bahrain dan Malaysia saling menghormati serta berkongsi nilai-nilai, aspirasi dan komitmen terhadap keamanan, kesejahteraan dan kemajuan rakyat. Saya berharap lawatan saya kali ini akan membuka lembaran baharu dalam membentuk hala tuju masa depan hubungan kedua-dua negara,” titah Sultan Ibrahim menerusi laman rasmi Facebook baginda pada Ahad.

Sultan Ibrahim dalam rangka lawatan negara ke Bahrain. Baginda turut berkenan menghadiri majlis santapan negara yang dihoskan Raja Bahrain, Raja Hamad Isa Al-Khalifa di Istana Sakhir, Zallaq.

Sementara itu, Raja Hamad menzahirkan penghargaan atas kunjungan Seri Paduka dan menegaskan komitmen Bahrain untuk menjadi rakan strategik jangka panjang yang ikhlas dan membina kepada Malaysia.

“Pertumbuhan pesat Malaysia dicapai melalui kecemerlangan dalam bidang perniagaan, perindustrian dan pertanian - bidang yang turut menjadi kekuatan Bahrain.

"Justeru, kedua-dua negara mempunyai banyak peluang untuk saling memperoleh manfaat dalam sektor seperti perbankan, teknologi kewangan (fintech), pelancongan, pertanian dan pembangunan infrastruktur,” titah Raja Hamad.

Terdahulu, keberangkatan tiba Seri Paduka di Istana Sakhir disambut oleh Raja Hamad bersama Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain, Putera Salman Hamad Al-Khalifa, serta anggota keluarga diraja Bahrain.

Berangkat sama mengiringi Seri Paduka ialah Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Al-Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim.


#Sultan Ibrahim #Yang di-Pertuan Agong #Bahrain #Lawatan Negara