[TERKINI] DUN Sabah Dibubar — PRN Ke-17 Bermula! Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

Hubungan erat Malaysia-Pakistan perluas peluang ekonomi, perkukuh perpaduan dunia Islam - Fahmi

Bernama 06/10/2025 | 14:50 MYT
Malaysia dan Pakistan menjalinkan hubungan diplomatik pada 1957 dan hubungan dua hala itu telah ditingkatkan kepada tahap Perkongsian Strategik pada Mac 2019. - Foto Facebook Fahmi Fadzil
KUALA LUMPUR: Kerjasama erat Malaysia dan Pakistan bukan sahaja akan memperluas peluang ekonomi, malah memperkukuh perpaduan dunia Islam melalui perdagangan, pelaburan dan industri halal yang mampan, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.


Ringkasan AI
  • Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata kerjasama erat Malaysia dan Pakistan akan memperkukuh ekonomi serta perpaduan dunia Islam melalui perdagangan, pelaburan dan industri halal.
  • Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatannya Muhammad Shehbaz Sharif sepakat memperkukuh hubungan dua hala termasuk perdagangan dan pengiktirafan bersama pensijilan halal.
  • Malaysia juga menyatakan hasrat untuk meningkatkan eksport minyak sawit ke Pakistan bagi memenuhi permintaan sektor pemprosesan makanan dan pembuatan.


Jurucakap Kerajaan MADANI itu berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama rakan sejawatannya Muhammad Shehbaz Sharif, telah menegaskan ikatan persahabatan yang kukuh, serta aspirasi bersama untuk membina kerjasama lebih dinamik dan berdaya tahan.

"Pemimpin kedua-dua negara telah mengadakan mesyuarat dua hala hari ini, serta bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa.

"Kedua-dua pihak antara lain berpuas hati dengan usaha berterusan dalam memperkukuh perdagangan dan pelaburan dua hala, termasuk melalui Perjanjian Perkongsian Ekonomi Lebih Rapat Malaysia-Pakistan (MPCEPA)," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Fahmi berkata Malaysia juga menyatakan hasrat untuk meningkatkan eksport minyak sawit ke Pakistan bagi memenuhi permintaan sektor pemprosesan makanan dan pembuatan di negara tersebut.

Beliau berkata kedua-dua negara, bersetuju untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang halal, termasuk memudahkan pengiktirafan bersama pensijilan halal, memperkukuh rantaian bekalan makanan halal, serta berkongsi amalan terbaik dalam pensijilan halal.

"Insya-Allah, Malaysia dan Pakistan akan terus perkukuh hubungan diplomatik dan ekonomi," katanya.

Shehbaz tiba di Malaysia semalam bagi memulakan lawatan rasmi selama tiga hari atas jemputan Perdana Menteri.

Pesawat khas yang membawa Shehbaz dan delegasi mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 9.46 malam semalam dan ketibaan mereka disambut Fahmi.

Malaysia dan Pakistan menjalinkan hubungan diplomatik pada 1957 dan hubungan dua hala itu telah ditingkatkan kepada tahap Perkongsian Strategik pada Mac 2019.

-- BERNAMA


#hubungan erat #kerjasama Malaysia dan Pakistan #peluang ekonomi #Fahmi Fadzil