JAKARTA: Menteri Kewangan Indonesia, Sri Mulyani Indrawati berkata, hubungan dua hala Indonesia-Malaysia tetap teguh di tengah situasi global yang dinamik dan mencabar disokong komitmen kedua-dua negara untuk meningkatkan kerjasama di pelbagai bidang.

Hubungan diplomatik yang terjalin sejak 1957 telah menghasilkan banyak manfaat dan saling membantu demi kepentingan bersama, terutamanya untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan serantau.

"Saya yakin bahawa hubungan dua hala kita akan sentiasa diperbaharui dan dicipta semula melalui komitmen bersama dalam semangat perpaduan dan kestabilan," katanya.

Beliau berkata demikian di majlis resepsi Hari Kebangsaan dan ulang tahun hubungan diplomatik Malaysia ke-65 yang dianjurkan oleh Kedutaan Besar Malaysia di Kuningan, Rabu malam.

Sri Mulyani berharap Malaysia akan menyokong Indonesia sebagai pengerusi ASEAN pada 2023 dan penganjuran Sidang Kemuncak Ketua Negara dan Kerajaan G20 ke-17 pada November di Bali.

Bekas pengarah urusan dan ketua pegawai operasi Bank Dunia itu berkata, Malaysia merupakan rakan dagang terbesar kedua Indonesia dan sumber pelaburan ke-lapan tertinggi pada 2021.

Di bidang pelancongan, beliau optimis kedua-dua negara dapat meningkatkan semula jumlah kedatangan pelancong yang terjejas semasa pandemik COVID-19 melanda seluruh dunia.

Kedua-dua negara kini aktif bekerjasama meningkatkan ketersambungan (connectivity) melalui mekanisme Segitiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) dan Kawasan Pertumbuhan Asia Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP EAGA), kata Sri Mulyani. - BERNAMA