KUALA LUMPUR: Ikatan kukuh dan unik antara Iran dan Malaysia yang berakar umbi dalam kebudayaan dan ketamadunan telah berkembang sejak empat dekad lalu, menurut Duta Iran ke Malaysia Valiollah Mohammadi Nasrabadi.

Oleh itu, beliau berharap hubungan dua hala itu dapat diperkukuhkan lagi bagi meliputi bidang ekonomi, pendidikan, sains dan teknologi.

"Iran di Asia Barat, dengan kapasiti yang pelbagai telah menjadi rakan rapat dan rakan perdagangan negara di Asia Tenggara seperti Malaysia dan Indonesia.

"Kedua-dua negara yang telah bekerjasama secara aktif dalam platform antarabangsa seperti Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan Membangun-8 (D8) dan akan terus mengukuhkan hubungan berdasarkan objektif bersama serta bekerjasama di peringkat global," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Mengenai hubungan dua hala, Mohammadi Nasrabadi berkata kedua-dua negara kekal komited untuk terus menjayakan Mesyuarat Suruhanjaya Bersama (JCM) dan Suruhanjaya Ekonomi Bersama (JEC) bagi memperhalusi skop kerjasama yang berpotensi.

"Tahun ini, kami meneroka kemungkinan lawatan peringkat tinggi antara kedua-dua negara untuk meluaskan lagi hubungan dua hala merentasi pelbagai sektor, termasuk perdagangan dan pelaburan, pelancongan dan budaya serta maklumat dan teknologi," katanya.

Nilai dagangan antara Malaysia dan Iran mencecah US$845.8 juta (RM4 bilion) pada 2023.

Pada ulang tahun ke-45 Hari Kebangsaan Iran pada 11 Feb, beliau berkata revolusi negara itu telah melakar pencapaian penting diperingkat rasmi dan diplomatik.

Sehingga tahun lepas, beliau berkata landskap pendidikan telah mengalami transformasi luar biasa, dengan peningkatan yang menakjubkan jumlah universiti dan pusat penyelidikan kepada 2,569.

"Peluasan ini bertepatan dengan lonjakan kemasukan pelajar yang meningkat daripada 175,000 kepada lebih empat juta pelajar di seluruh negara, selain pembukaan taman saintifik di seluruh Iran bagi memacu kemajuan teknologi negara itu," katanya.

Mohammadi Nasrabadi berkata perwakilan wanita dalam kalangan ahli fakulti universiti juga melonjak sebanyak 33.3 peratus, dengan peningkatan paling ketara sebanyak 34 peratus di universiti sains perubatan.

"Malah mereka memegang jawatan berpangkat tinggi dalam parlimen, kerajaan dan presiden universiti dan pusat penyelidikan sekali gus menekankan mengenai pengaruh dan sumbangan mereka yang semakin meningkat kepada masyarakat Iran selepas Revolusi," katanya.

Malaysia dan Iran menjalinkan hubungan diplomatik pada 1970 apabila Malaysia membuka kedutaannya di Tehran. Iran membuka kedutaannya di Malaysia pada tahun 1981.

-- BERNAMA