MALAYSIA

Hubungan Malaysia-Belanda terus utuh

Bernama 25/09/2025 | 08:36 MYT
Kedutaan turut mengambil peluang mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) kepada para tetamu. - Facebook Embassy on Malaysia in The Hague
KUALA LUMPUR: Duta Besar Malaysia ke Belanda Datuk Roseli Abdul menzahirkan keyakinan terhadap hubungan erat yang berterusan antara Malaysia dan Belanda.

Dalam ucapan alu-aluannya pada Majlis Resepsi Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia di The Hague pada 22 Sept, beliau menekankan pencapaian cemerlang Malaysia dalam beberapa tahun kebelakangan ini, terutamanya atas kapasitinya sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun ini.

Kedutaan turut mengambil peluang mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) kepada para tetamu dengan memberi penekanan terhadap tarikan alam sekitar, sejarah dan kebudayaan Malaysia.

Lebih 200 tetamu menghadiri sambutan itu, termasuk pegawai kerajaan Belanda, anggota kor diplomatik, rakan strategik Malaysia serta diaspora Malaysia dari seluruh Belanda.

Majlis resepsi itu menghimpunkan rakyat Malaysia dan bukan warganegara bagi meraikan sebahagian penting sejarah negara serta warisan budaya Malaysia yang kaya dan pelbagai.

Acara itu mendapat sokongan Pejabat Kaunselor Pertanian, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Tourism Malaysia di The Hague.

-- BERNAMA


#Kedutaan Malaysia #Belanda #The Hague #Roseli Abdul #tahun melawat malaysia