KUANTAN:Hujan lebat berterusan sejak semalam menyebabkan 9 daerah di Pahang terjejas banjir di mana seramai 1 ribu 755 penduduk dipindahkan ke 56 pusat Pemindahan Sementara (PPS) setakat jam 4 petang Ahad. 

Menurut portal bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), daerah Maran mencatatkan jumlah mereka yang terjejas banjir tertinggi dengan 434 penduduk dipindahkan ke empat buah PPS, diikuti daerah Rompin seramai 332 penduduk dipindahkan ke enam buah PPS.

Manakala, daerah Raub seramai 254 penduduk dipindahkan ke 26 buah PPS; Jerantut seramai 245 penduduk di lima buah PPS; Kuantan (185 penduduk di lima buah PPS); Temerloh (180 penduduk di lima buah PPS); Bentong (45 penduduk di satu PPS); Pekan (45 penduduk di dua buah PPS); dan Lipis seramai 35 penduduk dipindahkan ke dua PPS.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran cuaca waspada dengan hujan lebat dijangka berlaku di negeri pantai timur termasuk Pahang sehingga Selasa ini.

Mangsa banjir di Pahang terus meningkat


Amaran cuaca buruk dengan hujan lebat berterusan dijangka berlaku di daerah Raub, Jerantut, Bentong, Temerloh dan Bera sehingga Selasa ini.

Selain itu, Amaran cuaca bahaya dengan hujan sangat lebat dijangka berterusan di daerah Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin, hari ini.

Perkembangan banjir dan tanah runtuh di Pahang