Skim Penempatan Semula Nanga Jagau di pedalaman daerah Kanowit yang menempatkan 21 buah rumah panjang dan diduduki 2,020 penduduk dekat sini, terputus hubungan apabila jalan ke kawasan tersebut runtuh berikutan hujan lebat malam tadi.

Ketua masyarakat bagi kawasan Sungai Ngemah Hulu Penghulu Juni Massam berkata jalan tanah berbatu di Nanga Belasang, 300 meter dari penempatan itu runtuh apabila sebuah pembentung rosak kerana tidak mampu lagi mengalirkan jumlah air yang banyak.

"Hujan lebat sejak beberapa hari lalu di hulu sungai ini turut menyebabkan sebuah sekolah, SK (Sekolah Kebangsaan) Nanga Jagau dilanda banjir setinggi 0.76 meter. Tiada jalan keluar masuk penempatan ini jika jalan itu tidak dibaiki," katanya ketika dihubungi hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kanowit Arrahman Chik dalam satu kenyataan berkata sepasukan anggota cuba pergi ke penempatan semula itu namun jalan yang mereka lalui terhalang oleh tanah susur dan pokok tumbang.

"Lokasi tanah susur tersebut adalah lebih kurang 40km daripada simpang Ngungun. Kami mengambil keputusan untuk berpatah balik ke balai pada 11.50 pagi," katanya.

Sementara itu, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Bahagian Sibu telah mengeluarkan notis gangguan air tidak terancang di Nanga Jagau berikutan Loji Rawatan Air Nanga Jagau tidak dapat berfungsi ekoran kenaikan mendadak paras air Sungai Ngemah yang telah menenggelamkan panel suis utama pam loji berkenaan.

"Pihak kami memohon pengguna supaya menyimpan stok bekalan air serta mengamalkan penjimatan semasa menggunakan air sepanjang tempoh gangguan ini. Bekalan air dijangka pulih apabila paras air sungai kembali normal," menurut notis itu lagi.

Sementara itu, Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Zon Sibu Janggan Muling berkata selain SK Nanga Jagau, SK Nanga Nirok, SK Nanga Balingiau dan SK Ulu Poi kesemuanya terletak di kawasan pedalaman daerah Kanowit turut terjejas banjir.

"Semua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) dalam kawasan Zon Sibu kini sedang membuat pemantauan banjir," katanya

Bagi kawasan daerah Sibu, beberapa kawasan rendah di sepanjang Jalan Salim-Stabau, dinaiki air setinggi lebih kurang satu meter dan beliau menasihati mereka yang tinggal di kawasan rendah dan tebingan sungai agar sentiasa berhati-hati dan mengutamakan aspek keselamatan masing-masing.

Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan kejadian hujan dan ribut petir di satu dua tempat di pedalaman Sarawak akan berterusan sehingga Ahad ini.

-- BERNAMA