Skip to main content

Malaysia

Hujan lebat, Pulau Pinang dilanda banjir kilat

81744767331_tbhujanlebatbanji.jpg
GEORGE TOWN: Beberapa kawasan di negeri ini antaranya Jalan P Ramlee, Jalan Thean Teik, Kampung Masjid, Green Garden dan Taman Siakap dilaporkan dinaiki air berikutan hujan lebat yang melanda sejak 11 malam tadi.

Hujan lebat kira-kira empat jam itu menyebabkan banjir kilat berlaku dan memasuki rumah penduduk di beberapa kawasan di pulau dan seberang.

Menurut Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Timur Laut, beberapa laluan utama dinaiki air sehingga menyukarkan pergerakan kenderaan selain menyebabkan beberapa premis kediaman turut dimasuki air.

"Tinjauan awal mendapati limpahan air berlaku kerana jumlah hujan yang tinggi dalam tempoh singkat. Pada jam 1.40 pagi tadi, air telah naik dan memasuki beberapa rumah di Jalan P Ramlee dan Kampung Masjid.

"Bantuan awal pemindahan kepada mangsa ke tempat tinggi di rumah masing-masing dan bantuan pengalihan barangan dan kenderaan awam ke tempat selamat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, sehingga kini, tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka.

"Pada jam 3 pagi tadi hujan telah berhenti dan air mulai surut.

"Tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan," katanya.

Sementara itu, APM Daerah Seberang Perai Tengah pula melaporkan, sehingga jam 3.10 pagi ini, banjir kilat belum surut dan telah memasuki rumah penduduk di Taman Siakap.

Bagaimanapun, tiada penduduk dipindahkan ke PPS.

Orang ramai dinasihatkan supaya berwaspada serta mengelak melalui laluan yang dinaiki air bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini. - Sinar Harian 





Advertisement

Must Watch Video