[TERKINI] Sistem Pendidikan Malaysia Berubah Bermula 2027: Darjah Satu Umur 6, Penilaian Murid Tahun 4 & Tingkatan 3 – Ini Perkara yang Ibu Bapa WAJIB Tahu
MALAYSIA

Hukuman denda RM7,000 terhadap bekas pemandu e-panggilan ugut anak Pastor Koh kekal

Bernama 20/01/2026 | 12:00 MYT
Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan hukuman denda RM7,000 atau penjara 18 bulan terhadap bekas pemandu e-panggilan kerana memeras ugut RM30,000 anak lelaki Pastor Raymond Koh, sembilan tahun lepas. - Foto hiasan
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan hukuman denda RM7,000 atau penjara 18 bulan terhadap bekas pemandu e-panggilan kerana memeras ugut RM30,000 anak lelaki Pastor Raymond Koh, sembilan tahun lepas.


Ringkasan AI
  • Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman denda RM7,000 atau penjara 18 bulan terhadap bekas pemandu e-panggilan kerana memeras ugut RM30,000 anak lelaki Pastor Raymond Koh sembilan tahun lalu.
  • Panel tiga hakim dipimpin oleh Datuk Azman Abdullah menolak rayuan Lam Chang Nam, 40, bagi mengetepikan hukuman Mahkamah Tinggi pada 30 Mei 2025.
  • Keputusan ini disokong kerana perayu tidak mengalami prejudis dalam pembelaannya, dengan mahkamah mendapati hukuman denda adalah munasabah dan adil.


Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Azman Abdullah yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid dan Datuk Amarjeet Singh, menolak rayuan Lam Chang Nam, 40, bagi mengetepikan sabitan dan hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi pada 30 Mei 2025.

Mohd Radzi semasa membacakan keputusan sebulat suara itu berkata mahkamah mendapati perayu (Lam) tidak mengalami sebarang prejudis dalam pembelaannya, walaupun pertuduhan tersebut memasukkan Seksyen 511 Kanun Keseksaan bersama pertuduhan di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan yang meliputi kesalahan cubaan memeras ugut.

"Kami dapati terdapat keterangan menyokong elemen kesalahan di bawah Seksyen 511 Kanun Keseksaan dan kami dapati sabitan Mahkamah Majistret adalah selamat.

"Hukuman denda RM7,000, suatu jumlah munasabah dan mencerminkan secara adil suatu kesalahan percubaan kerana di bawah peruntukan Seksyen 385 Kanun Keseksaan, perayu boleh dihukum penjara selama tempoh boleh sampai tujuh tahun atau dengan denda atau sebat, atau mana-mana dua daripada hukuman itu. Oleh itu, rayuan perayu ditolak," kata hakim itu.

Pada 24 Mac 2023, Mahkamah Majistret Petaling Jaya menjatuhkan hukuman denda RM7,000 atau penjara 18 bulan ke atas Lam, selepas didapati bersalah melakukan pemerasan dengan meminta RM30,000 daripada anak Pastor Koh yang hilang, kononnya bagi membebaskan bapanya di sebuah pusat beli-belah di Kelana Jaya, Selangor pada 9.46 malam, 6 Mac 2017.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 akta sama. Sebelum ini, Lam telah membayar denda berkenaan.

Hukuman denda itu kekal selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 30 Mei 2025 menolak rayuan Lam terhadap sabitan dan hukuman. Oleh kerana kes berasal daripada Mahkamah Majistret, Lam dikehendaki oleh undang-undang untuk mendapatkan kebenaran sebelum meneruskan rayuannya pada peringkat Mahkamah Rayuan.

Mahkamah Rayuan pada 17 Sept 2025 memberikan kebenaran merayu terhadap Lam, selepas pihak pendakwaan dan pembelaan bersetuju menyerahkan persoalan undang-undang untuk ditentukan.

Persoalan undang-undang berkenaan adalah sama ada penyertaan peruntukan Seksyen 511 Kanun Keseksaan dalam pertuduhan bagi kesalahan di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan, yang dengan sendirinya memperuntukkan percubaan untuk melakukan pemerasan, menjadikan pertuduhan tersebut cacat apabila pertuduhan itu turut menyatakan "telah melakukan pemerasan".

Pada 8 Feb 2021, Mahkamah Majistret melepas dan membebaskan Lam daripada pertuduhan berasingan menculik Pastor Koh, selepas pihak pendakwaan menarik balik pertuduhan itu bagaimanapun pertuduhan memeras ugut diteruskan.

Prosiding hari ini dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fuad Abdul Aziz manakala Lam diwakili peguam M. Manoharan.

-- BERNAMA


#hukuman denda kekal #ugut anak Pastor Koh #Pastor Raymond Koh #bekas pemandu e-panggilan