PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini hari ini mengekalkan hukuman mati seorang bekas pengawal keselamatan yang membunuh dua rakan sekerjanya ketika mereka sedang tidur dengan sebilah parang tujuh tahun lepas.

Panel tiga hakim terdiri daripada Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim serta Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Abu Bakar Jais membuat keputusan itu selepas menolak rayuan Mohd Ferdaus Suwardi terhadap sabitan dan hukuman ke atasnya.

Ketika menyampaikan keputusan mahkamah, Abang Iskandar berkata hukuman mati yang dijatuhkan ke atas Mohd Ferdaus oleh mahkamah lebih rendah dikekalkan kerana jenayah mengerikan itu telah dilakukan tanpa belas kasihan.

Beliau berkata justeru itu, mahkamah enggan menggunakan budi bicaranya untuk menggantikan hukuman mati ke atas Mohd Ferdaus dengan pemenjaraan.

Terdahulu, Abang Iskandar berkata keputusan mahkamah lebih rendah yang mendapati Mohd Ferdaus bersalah membunuh kedua-dua rakan sekerjanya adalah betul dan tertuduh juga gagal membuktikan atas imbangan kebarangkalian bahawa dia tidak siuman ketika melakukan jenayah itu.

Mohd Ferdaus, 37, dihukum mati oleh Mahkamah Tinggi pada 12 Nov 2019 selepas didapati bersalah membunuh Syed Mohd Fazrul Syed Mohd Ridhuan, 23, dan Wan Amir Hamzah Abu Hassan, 48, di sebuah bilik tidur dalam premis penyembelihan ayam di Jalan Bukit Kuda, Klang, Selangor antara 6.30 pagi hingga 9 pagi pada 31 Julai 2017.

Dia kemudian merayu kepada Mahkamah Rayuan tetapi telah ditolak pada 26 Mei 2022.

Mengikut fakta kes, selepas Mohd Ferdaus melakukan pembunuhan itu, dia telah ke rumah ibunya dan memberitahu bahawa "Abang sudah bunuh syaitan dua orang" serta "budak-budak syaitan itu telah memaksa dia melakukan seksual."

Semasa memberi keterangan, Mohd Ferdaus mengaku membunuh kedua-dua lelaki namun mengemukakan pembelaan bahawa dia tidak siuman di bawah Seksyen 84 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun, selepas mempertimbang keterangan tiga pakar psikiatri, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Mohd Ferdaus gagal membuktikan bahawa dia tidak siuman ketika kejadian.

Dalam mitigasi di hadapan Mahkamah Persekutuan hari ini, peguam Mohd Fadhly Yaacob meminta agar hukuman mati terhadap Mohd Ferdaus digantikan dengan pemenjaraan bagi tempoh di antara 30 hingga 33 tahun namun dibantah oleh Timbalan Pendakwa Raya Ng Siew Wee yang menggesa agar hukuman mati dikekalkan.

Beliau berkata Mohd Ferdaus telah menyerang kedua-dua mangsa ketika mereka sedang tidur dan serangan itu dilakukan dengan cara yang amat kejam.

Ng berkata Syed Mohd Fazrul mengalami 45 kecederaan manakala Wan Amir Hamzah mengalami 23 kecederaan.

"Dia juga tidak menghentikan serangan ketika mangsa minta dikasihani," katanya sambil menambah Mohd Ferdaus bertindak demikian kerana dendam yang membara dan kekejaman sedemikian perlu dibalas dengan hukuman paling berat.

-- BERNAMA