NATIONAL

Hukuman penjara 30 hari pemandu 4x4 langgar suami isteri diganti penjara 6 bulan

Bernama 19/05/2025 | 11:10 MYT
Tertuduh pada 13 Mei lalu dijatuhkan hukuman penjara 30 hari dan denda RM12,000 oleh Mahkamah Majistret. - Gambar fail/ Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menggantikan hukuman penjara 30 hari kepada penjara enam bulan terhadap pemandu pacuan empat roda yang melanggar pasangan suami isteri yang menaiki motosikal berkuasa tinggi, dua minggu lepas.


Ringkasan AI
  • Mahkamah Tinggi menggantikan hukuman penjara 30 hari kepada 6 bulan terhadap K. Darmaraju kerana memandu secara melulu dan melanggar pasangan suami isteri bermotosikal.
  • Denda RM12,000 dikekalkan dan tertuduh hilang kelayakan memegang lesen memandu selama 5 tahun bermula dari tarikh tangkapan pada 11 Mei.
  • Pendakwaan berhujah hukuman lebih berat perlu sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat, memandangkan mangsa mengalami kecacatan kekal akibat kemalangan.


Hakim K. Muniandy memutuskan demikian ketika prosiding semakan terhadap keputusan Mahkamah Majistret yang menjatuhkan hukuman penjara 30 hari dan denda RM12,000 terhadap K. Darmaraju, 32, yang mengaku bersalah atas pertuduhan memandu kenderaan secara melulu pada 13 Mei lepas.

Hukuman penjara enam bulan itu bermula dari tarikh tangkap pada 11 Mei dan mengekalkan hukuman denda RM12,000, selain tertuduh yang berkerja sebagai jurujual aksesori kereta hilang kelayakan mendapatkan lesen memandu selama lima tahun.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sabri Othman berhujah bahawa hukuman penjara 30 hari itu akan berlalu sekejap sahaja manakala denda RM12,000 sudah dibayar, berbanding mangsa yang mengalami kecacatan kekal dan bergantung kepada bantuan ahli keluarga serta hospital untuk merawatnya.

"Oleh itu, pihak pendakwaan mohon hukuman berbentuk pengajaran kepada tertuduh serta orang awam yang berhasrat melakukan perbuatan sama. Kes ini akan mengingatkan mereka tentang risiko, kesan, dan akibat memandu secara melulu," katanya yang mengendalikan kes bersama TPR R. Harvind.

BACA: Polis kesan saksi lain kemalangan pasangan suami isteri naiki motosikal berkuasa tinggi

BACA: Pemandu 4x4 langgar suami isteri dihukum penjara 30 hari, denda RM12,000

Peguam S. Vinesh yang mewakili tertuduh memohon Hakim Mahkamah Tinggi tidak menganggu keputusan Mahkamah Majistret.

Darmaraju didakwa memandu kenderaan jenis Nissan Navara dengan melulu di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) menghala ke pusat bandar sebelum Plaza Tol Duta pada 2.30 petang, 10 Mei lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh membawa hukuman penjara hingga lima tahun, denda maksimum RM15,000, hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang lima tahun, lesen memandu percubaan dibatalkan, dan kesalahan akan diendors pada lesen memandu.

-- BERNAMA


#video tular #Nissan Navara #langgar suami isteri #hukuman penjara